Followers

RUSIA TAWAR KEPAKARAN BANGUNKAN PROGRAM NUKLEAR MALAYSIA


KUALA LUMPUR:  Negara kuasa besar nuklear, Rusia bakal menyalurkan kepakarannya jika Malaysia membuat keputusan untuk membangunkan program nuklearnya, kata Menteri Pembangunan Ekonomi Rusia, Alexei Ulyukayev.

Bercakap kepada Bernama, beliau memberi jaminan bahawa Rusia adalah satu-satunya negara, yang boleh menyediakan sokongan bagi pembangunan industri nuklear nasional berikutan industri nuklear negara itu yang maju.

"Kami akan mencadangkan pembangunan program nuklear tempatan yang sangat canggih dan rumit. Kami boleh bangunkan stesen janakuasa nuklear.

"Kami juga boleh mengelolakan latihan bagi kakitangan tempatan sebab kami yakin projek itu boleh diuruskan sendiri oleh rakyat Malaysia," katanya dalam temu bual baru-baru ini susulan penyertaan beliau dalam Mesyuarat Menteri Ekonomi ASEAN ke-47 dan Mesyuarat Berkaitan, bulan lepas.

Ulyukayev ditanya tentang bagaimana Rusia boleh membantu sekiranya Malaysia mahu membangunkan loji tenaga nuklearnya sendiri.

"Kami sangat berpengalaman, misalnya dalam stesen janakuasa dan tenaga nuklear. Di Asia, kami membangunkan prasarana kedua-dua sektor ini di beberapa negara selain menyampaikan sokongan tapak kepada mereka," katanya.

Rusia adalah sebuah daripada 10 rakan dialog Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Negara lain ialah Amerika Syarikat, China, Jepun, Australia, Kanada, India, Korea Selatan, Kesatuan Eropah dan New Zealand.

Negara itu yang sebelum ini dikenali sebagai Kesatuan Soviet muncul sebagai negara senjata nuklear kedua dunia selepas menguji senjata pertamanya di Semipalatinsk, Kazakhstan, pada 29 Ogos 1949.

Rusia adalah sebuah daripada lima negara senjata nuklear yang diiktiraf mengikut Perjanjian Pengawalan Senjata Nukelar, status yang diwarisinya sebagai pengganti sah Kesatuan Soviet.

Negara senjata nuklear lain ialah Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan China. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment