ISU KETUA PEMUDA MCA PASIR GUDANG SELESAI : TIONG LAI


KUALA LUMPUR:  Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyifatkan isu melibatkan Ketua Pemuda MCA Pasir Gudang yang didakwa mahu memutuskan hubungan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah diselesaikan secara bersama dalam Barisan Nasional (BN).


Ia berikutan UMNO Johor dan MCA Johor telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan isu berkenaan secara baik.

"Kita sudah dapat kata sepakat di mana isu ini telah dapat diselesaikan. Ketua Pemuda MCA Pasir Gudang menghormati keputusan kepimpinan pusat.

"Kepimpinan pusat telah memastikan bahawa semua isu berhubung BN, kita selesai cara BN," katanya ketika ditemui media selepas menutup Forum Komunikasi Dunia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Justeru, Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan berharap isu berkenaan tidak lagi timbul, sebaliknya semua anggota BN bersama-sama menumpukan kepada soal pembangunan ekonomi.

"Saya harap semua bersatu untuk menghadapi cabaran ekonomi negara. Kita jangan berpecah-belah, kita kena bersatu dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri bagi memastikan isu ekonomi ditangani dengan cepat," kata Tiong Lai.

MCA komited untuk membantu Perdana Menteri menyelesaikan isu-isu ekonomi yang dihadapi negara kita," katanya lagi.

Pemuda MCA Pasir Gudang, Chia Chow Hui sebelum ini mengeluarkan kenyataan mahu memutuskan hubungan dengan Najib susulan kenyataan sokongan beliau kepada Himpunan Rakyat Bersatu di Kuala Lumpur pada 16 September lalu.

Kenyataannya mendapat kecaman pelbagai pihak dalam BN termasuk Pengerusi Pemudanya, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan serta tidak matang. - ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts