ANGGOTA UMNO PERLU BERSATU PERTAHAN KAUM PRIBUMI DAN AGAMA : SHAHIDAN
ARAU: Anggota UMNO perlu bersatu untuk mempertahankan kedudukan bangsa Melayu sebagai kaum pribumi serta Islam sebagai agama rasmi, kata anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Shahidan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis berkata anggota UMNO dan orang Melayu khasnya tiada pilihan hanya dengan memperkasakan UMNO matlamat itu dapat dipertahankan.
"Segala perbezaan yang memecahbelahkan kita (orang Melayu dan UMNO) hendaklah diketepikan supaya kelangsungan parti tidak terganggu.
"Jangan main politik laksa...politik laksa ni bila kuah sikit menjadi lebih pekat dan sedap. Makin ada masalah, makin seronok kita bergaduh. Janganlah jadi macam tu," katanya kepada pemberita di sini, pada Ahad.
Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditemui selepas perasmian mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Arau oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga anggota MT.
Beliau berkata pemimpin dan anggota UMNO perlu sedar perjuangan parti lebih penting dan utama daripada kepentingan diri.
"Suasana politik hari ini memberikan kesan amat buruk kepada gerak kerja UMNO sekiranya tidak ditangani secara bijaksana dan berhemah," tambahnya.
Dalam pada itu Shahidan mahu parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) memainkan peranan yang dilihat lebih berkesan untuk membantu kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau yang ditanya mengenai perhimpunan Baju Merah pada 16 Sept ini meminta penganjur memastikan perhimpunan itu dijalankan dengan aman dan mereka yang menyertai perhimpunan itu diminta memelihara hubungan antara kaum.
Katanya pucuk pimpinan parti memberi kebebasan kepada anggotanya menyertai perhimpunan itu untuk menyatakan manifestasi dan pendirian mereka dan bukan bertujuan menimbulkan huru-hara.
Sementara itu Tajuddin dalam ucapan perasmian mesyuarat itu berkata anggota UMNO perlu menunjukkan tahap kesetiaan yang tinggi kepada pucuk pimpinan parti supaya apa jua kemelut yang melanda parti dapat diselesaikan. - BERNAMA
Comments
Post a Comment