SPEKULASI TARIKH PRU BERTERUSAN...
Pengumuman tarikh Perhimpunan Agung UMNO tahun ini bermula 27 November hingga 1 Disember depan boleh bikin macam-macam lagi spekulasi bila PRU 13.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika umumkan tarikh itu dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO petang Khamis, selamba saja berkata, " kalau nak buat tafsiran masing-masing, saya serahkan".
Mengulas sama ada pemilihan parti akan diadakan pada Perhimpunan Agung kali ini, Najib berkata: "Pemilihan parti ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya umum".
Bagaimanapun, Najib berkata, Perhimpunan Agung UMNO akan ditunda sekiranya kerajaan memilih untuk mengadakan pilihan raya umum pada waktu sama.
"Mudah saja. Sekiranya pilihan raya diadakan, kita tangguhkan Perhimpunan Agung. Tarikh pilihan raya terpulang kepada kita untuk putuskan bila masa yang terbaik. Kita boleh adakan atau tidak adakan, tapi kita akan teruskan seperti biasa," katanya.
Ditanya sama ada penetapan tarikh Perhimpunan Agung akan menyebabkan rakyat terus membuat spekulasi bahawa pilihan raya umum akan diadakan tahun depan, Najib secara berseloroh berkata, biarlah rakyat membuat spekulasi mengenai perkara itu.
"Saya suka mereka buat spekulasi," katanya.
Nampaknya tarikh PRU 13 terus jadi teka teki walaupun ramai termasuk pembangkang menjangkakan November ini kerana ambil kira angka 11 yang sinonim dengan Najib.
Namun, memandangkan musim haji baru bermula dan tarikh terakhir penerbangan membawa jemaah haji pulang ke tanah air pada 29 November, kemungkinan pilihanraya tidak akan diadakan pada masa berkenaan.
Ada desas desus terbaru PRU 13 lepas Tahun Baru Cina dan ramalan itu antara semakin diperkatakan kerana mesyuarat cawangan UMNO bagi memulakan proses pemilihan parti tahun depan mungkin bermula April 2013.
Ini bererti, proses pembubaran parlimen dan pilihanraya perlu diselesaikan sebelum mesyuarat cawangan tersebut bermula.
Sambutan Tahun Baru Cina pula dijadualkan 10 dan 11 Februari.
Justeru itu, ada meramalkan PRU 13 antara bulan Februari dan Mac tahun depan.
Dalam pada itu, Najib berkata, sehingga 18 September sebanyak 176 bahagian UMNO sudah bermesyuarat manakala baki 15 bahagian lagi dijangka berbuat demikian pada hujung minggu ini.
Perdana Menteri berkata, Majlis Tertinggi juga menerima syor daripada Jawatankuasa Pengurusan parti mengenai tatacara penerimaan permohonan keahlian di peringkat bahagian dan cawangan.
Katanya, selaras dengan Fasal 5.4 Perlembagaan UMNO, mana-mana borang permohonan yang diterima ibu pejabat parti tanpa ditandatangani jawatankuasa cawangan, akan dipulangkan semula kepada jawatankuasa itu dan ia perlu diselesaikan dalam tempoh dua bulan dari tarikh surat yang dikeluarkan oleh ibu pejabat UMNO.
"Bagi mana-mana penjawat jawatan yang didapati salah guna kuasa dengan sengaja tidak menerima keahlian, boleh dikenakan hukuman di bawah perkara 8 tataetika ahli.
"Ini untuk menjamin dasar pintu terbuka Umno dapat dilaksanakan sepenuhnya dan tiada sesiapa boleh disekat daripada menjadi ahli UMNO," katanya.
Sumber: agendadaily
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Comments
Post a Comment