KOUTA JEMAAH HAJI MALAYSIA KEKAL 28,000

::Pewaris Anak Bangsa::



PUTRAJAYA 2 September - Kerajaan Arab Saudi mengekalkan kuota 28,000 orang untuk jemaah Malaysia menunaikan haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Bagaimanapun, katanya permohonan untuk mendapatkan kuota tambahan akan diteruskan berikutan masih ramai jemaah Malaysia yang belum berpeluang menunaikan haji ekoran kuota yang terhad setiap tahun.
``Sehingga kini seramai 936,000 rakyat Malaysia termasuk 4,000 daripadanya berusia lebih 75 tahun sudah berdaftar untuk menunaikan haji,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Masjid Putra, di sini malam tadi.

Sebelum ini isu kuota haji untuk jemaah Malaysia menunaikan haji tahun ini menjadi kebimbangan banyak pihak dengan tindakan segelintir rakyat Malaysia yang mengadakan demonstrasi Bersih 3.0 di Mekah dan Madinah pada 26 April lalu.

Berikutan tindakan itu, kerajaan Arab Saudi menghantar nota diplomatik kepada Wisma Putra untuk melahirkan rasa kecewa dengan tindakan berkenaan.

Sehubungan itu Jamil Khir menasihati jemaah haji Malaysia supaya menjaga tingkah laku dan ketertiban sepanjang berada di tanah suci serta tidak mengadakan sebarang program atau perhimpunan yang tidak dibenarkan.

"Maka ini akan menjadi satu kekuatan untuk kerajaan Arab Saudi untuk sentiasa melihat Malaysia sebagai negara keutamaan apabila mereka ingin memberikan kuota tambahan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, penerbangan pertama untuk ke tanah suci tahun ini akan bermula pada 17 September melibatkan 400 jemaah dan penerbangan terakhir pada 29 Oktober.

Katanya, kerajaan juga akan mengekalkan kos haji untuk 28,000 jemaah muassasah iaitu pada kadar RM9,980 seperti tahun lepas, manakala jemaah kali kedua atau seterusnya perlu membayar tambang mengikut kos sebenar tanpa subsidi. - BERNAMA

Comments

Popular Posts