JIKA MANIFESTO BUKAN JANJI : APA YANG RAKYAT NAK HARAP UNTUK UNDI PEMBANGKANG?

::Pewaris Anak Bangsa::


Penganalisis politik tempatan, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein menyelar pihak yang menganggap bahawa manifesto bukanlah satu perjanjian dengan menekankan bahawa manifesto adalah azam dan cita-cita di hati yang hendak direalisasikan dengan kesungguhan dan tekad yang mendalam.

“Dalam politik manifesto adalah janji politik yang akan ditunaikan dan sekiranya manifesto ini tidak dilaksanakan maka bermakna mereka tidak menunaikan janji yang dibuat,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau berkata demikian dalam mengulas berkaitan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memberikan jawapan ‘manifesto bukan satu perjanjian’ apabila diasak dengan persoalan mengenai kegagalan kerajaan pimpinannya untuk menunaikan janji bekalan air kegunaan domestik percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan kepada semua rakyat di negeri tersebut.

“Jika manifesto bukan janji jadi apakah manifesto itu sedangkan ia sebenarnya adalah sesuatu yang lebih baik, lebih tulus, lebih murni dan lebih dalam maknanya daripada janji itu sendiri.

“Dalam politik, manifesto ini adalah janji-janji yang akan dilaksanakan kalau tidak ada halangan dan mesti dimanifestasikan sebagaimana dilafazkan kepada rakyat.”

Jelasnya yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), inilah natijahnya apabila terlalu banyak berjanji sehinggakan menawarkan sesuatu yang tidak logik dan di luar dari kemampuan mereka sendiri.

“Pakatan pembangkang terlalu bercita-cita tinggi sehinggakan mengutarakan janji-janji yang keterlaluan dan apabila mereka berkerajaan maka tentulah rakyat akan menagih apa yang telah dinyatakan, malangnya ia gagal dilaksanakan sehingga mengatakan bahawa manifesto bukan janji.

“Jika secara terang mereka menolak janji-janji dalam manifesto yang dinyatakan maka bagaimana pula realitinya untuk Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang kerana dikatakan ia akan lebih ‘teruk’ memandangkan pakatan pembangkang akan menggunakan apa saja cara termasuklah antaranya menjanjikan sesuatu yang mustahil,” ujarnya.

Katanya, sepanjang PRU dilaksanakan, BN telah terserlah sentiasa menepati dan melaksanakan setiap manifesto yang dipaparkan biarpun ada beberapa agenda yang lambat dilaksanakan tetapi akhirnya ia direalitikan untuk rakyat.

“Hasil pengkajian saya ke atas 12 kali PRU yang berlangsung, dilihat bahawa 11 PRU yang awal tidak pernah menyatakan secara detail dan terperinci berkaitan apa yang mahu dilakukan khususnya oleh BN tetapi pada PRU ke-12, ia dilihat lebih fokus dan mendalam misalnya perincian dalam ekonomi, pendidikan dan sosial.

“Namun demikian, manifesto pakatan pembangkang bukanlah bersifat realiti sebaliknya cuba menandingi dengan menokok tambah apa yang dilakukan oleh BN tanpa mengambil kira terhadap persekitaran dan suasana semasa yang turut memberi faktor.

“Isu air adalah antara janji-janji yang tidak dilunaskan termasuklah kononnya mahu menurunkan harga minyak sedangkan ia bukan ditentukan oleh kerajaan sebaliknya ia mengikut harga pasaran di peringkat antarabangsa.”

Tambah beliau lagi, pakatan pembangkang akan menggunakan apa jua taktik untuk menumbangkan BN sebagai kerajaan sehinggakan tidak ada lagi pertimbangan-pertimbangan atas kewarasan akal fikiran digunakan.

“Pakatan pembangkang sanggup membuat pelbagai janji biarpun dalam masa yang sama ia membelakangkan kepentingan agama dan bangsa yang terkandung dalam Perlembagaan atau mengecilkan hati masyarakat tetapi atas nama kuasa ianya dikesampingkan.”

Beliau turut menyorot bagaimana Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein yang berjanji mahu membina jambatan Pulau Pinang sekiranya BN mendapat mandat pada tahun 1974 tetapi ia tidak sempat ditunaikan ekoran kematiannya.

“Janji tersebut juga masih tidak dapat diteruskan ketika zaman pentadbiran Tun Husseion Onn lantaran kemelesetan ekonomi dunia yang berlaku ketika itu sehingga akhirnya Tun Dr. Mahathir merealisasikan apa yang dijanjikan, biarpun lambat BN telah terbukti tetap menunaikan janji,” tegasnya.

Ujar beliau lagi, malangnya pakatan pembangkang gagal menysukuri apa yang ada biarpun mereka merasai nikmat dan kesejahteraan pentadbiran hasil daripada manifesto yang dibuat oleh BN.

“Di persada antarabangsa Malaysia telah diiktiraf hasil daripada kerajaan yang mantap dan cekap sehinggakan kedudukan ekonomi dunia berada di kedudukan terbaik dan berkembang sehingga 5.4 peratus dikala negara-negara lain merasai keperitannya.

“Barangkali ada baiknya jika pakatan pembangkang melakukan lawatan ke negara-negara mundur atau jika tidak pun cukuplah jika ke Pakistan atau Bangladesh saja agar mereka tahu apa makna aman dan sejahtera yang sebenar.” – MediaUMNO

Comments

  1. dorng nie dh xde idea 2 yg buat jnji2 yg xkn boleh tertunai nye..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts