PM: MEMPERINGATKAN ANGGOTA KABINET BERSIKAP TELUS
PUTRAJAYA, 17 Mei - Penekanan soal ketelusan dalam pentadbiran kerajaan amat penting bagi mengelakkan dari dieksploitasi dan digembar-gembur oleh pembangkang tanpa mengira sama ada ia bersandarkan kepada realiti atau persepsi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata. pembangkang kini mengetahui kemahiran mencetuskan persepsi yang dilihat mengatasi realiti berdasarkan serangan isu yang disasarkan.
"Saya meminta supaya anggota pentadbiran kerajaan memberikan respons dengan lebih pantas dan lebih tegas terhadap sebarang isu yang dibangkitkan pembangkang.
"Maknanya jangkaan atau 'expectation' rakyat terhadap tingkah laku kita, sama ada pada diri kita mahupun anggota keluarga, adalah begitu tinggi. Oleh itu kita mesti menjaga apa saja yang kita lakukan, pembawaan kita, dan cara hidup kita, supaya rakyat tidak mempersoalkan apa sahaja yang melibatkan integriti kita sebagai anggota pentadbiran," katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di sini semalam.
Mesyuarat pertama kabinet baharu hari ini berlangsung selama hampir dua jam, sejurus selepas mereka bergambar beramai-ramai di Aras Satu bangunan Putra Perdana di sini, pada kira-kira 3.15 petang.
Beliau menjelaskan, kesemua kabinet baharu yang dilantik menampilkan semangat yang tinggi dan bersedia memikul tanggungjawab sebagai satu pasukan.
Ujarnya, kesemua jemaah Menteri berikrar akan berkhidmat bagi memastikan kesinambungan dasar transformasi dapat dipertingkatkan terhadap rakyat.
"Insya-Allah kita akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi dan melaksanakan segala amanah dan janji yang kita buat kepada rakyat," katanya.
Beliau turut menegaskan, setiap anggota kabinet harus menjunjung amanah dan kepercayaan yang diberikan rakyat kepada kerajaan.
Tambahnya, setiap perlaksanaan tugasan yang diberikan tidak menitikberatkan soal kepentingan individu, sebaliknya pendirian bersama mewakili kerajaan.
"Apa saja yang kita lakukan, ia mesti atas nama sebuah kerajaan, bukannya kita bergerak dalam 'compartment' (ruang atau bahagian yang terpisah daripada bahagian lain) atau silo masing-masing. Saya tegaskan penting kita menjadi satu pasukan yang jitu, kukuh dan terselaras tindakan kita, sama ada dalam negara mahupun di luar negara, sama ada kita berbicara dengan media tempatan mahupun media antarabangsa," ujarnya.
Mesyuarat Kabinet ini diadakan sejurus kesemua anggota kabinet baharu mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, di Istana Negara pagi semalam.
Sumber: KLPos dot com
Comments
Post a Comment