PENULIS BAHA ZAIN TERIMA ANUGERAH SASTERAWAN NEGARA KE-12


KUALA LUMPUR:  Bekas Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Baharuddin Zainal atau nama penanya Baha Zain Selasa malam menerima Anugerah Sasterawan Negara Ke-12 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah berkenan menyampaikan anugerah tersebut kepada Baharuddin.

Beliau menerima wang tunai RM60,000, watikah Sasterawan Negara Ke-12 selain kemudahan berkarya.
Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah Hamidon.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara Ke-12.

Muhyiddin dalam ucapannya menyifatkan Baha Zain sebagai seorang penulis yang amat prolifik dalam genre puisi dan kritikan sastera.

"Semoga anugerah yang diberikan ini akan menyuntik semangat kepada beliau untuk terus berkarya dan menyumbangkan buah fikiran ke arah pembangunan bangsa dan sastera kebangsaan," katanya.

Pada 15 Mac lepas, Muhyiddin mengumumkan Baharuddin sebagai penerima anugerah itu berdasarkan kecemerlangan dan sumbangan berterusan beliau dalam seni kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran serta kegiatan sastera bermutu tinggi.

Antara karya Baha Zain, 74, ialah puisi Topeng-Topeng (2003), Dari Kertas Catatan Tengah Malam (DBP, 1978) dan Tiga Catatan Perjalanan (DBP, 1980).

Puisi-puisi beliau antaranya diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris, Mandarin, Russia dan Sepanyol.

Baharuddin juga pernah menerima Anugerah Penyair Gapena (1988), Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa daripada Persatuan Linguistik Malaysia (2004), Anugerah Budayawan Gapena (2008), dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada USM (2010), dan Anugerah Tokoh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (2011).

Anugerah Sastera Negara merupakan anugerah tertinggi negara kepada sasterawan. - BERNAMA

Comments