BN PERLU BERANI BERUBAH UNTUK KEKAL RELEVAN : NAJIB


PEKAN:  Barisan Nasional (BN) perlu melakukan perubahan daripada segi strategi, pendekatan, pembaharuan program dan lebih pragmatik untuk terus kekal relevan pada pilihan raya umum ke-14 nanti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata landskap politik negara yang terus berubah pantas menerusi proses urbanisasi, pendidikan, taraf hidup dan perkembangan teknologi maklumat, memperlihatkan formula yang diguna pakai BN selama ini mungkin sudah tidak relevan lagi.

"Kita tidak boleh anggap apa yang telah diguna pakai selama ini dianggap sesuai pada masa akan datang, kita mesti bersikap terbuka, pragmatik dan bukannya dogmatik," katanya ketika berucap pada majlis kesyukuran Umno Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan Datuk Ishak Muhammad, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebar  Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Adun Chini Datuk Abu Bakar Harun, Adun Peramu Jaya Datuk Sh Mohmed Puzi Sh Ali dan Adun  Pulau Manis Khairuddin Mahmud.

Beliau berkata kejayaan BN mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lepas memperlihatkan bahawa ia adalah sebuah parti yang cukup unik.

"Tiada parti politik dalam demokrasi parlimen terbuka boleh mengekalkan rekod kejayaannya sepertimana yang dicapai BN. BN berjaya mempertahankan rekod kecemerlangan secara tidak putus, sambung-menyambung," katanya.

Najib berkata apa yang penting BN perlu berani membawa unsur-unsur perubahan yang segarkan imej parti supaya terus diterima rakyat kerana pilihan raya akan datang dilihat akan lebih mencabar.

"Kita kena berani berubah sebelum rakyat berubah, lakukan perubahan lebih pragmatik sebab sekali pun kita berkuasa sekian lama, budi yang kita tabur bukanlah hak kita untuk kita terus memimpin (untuk dipilih)," kata beliau.

Najib berkata BN juga perlu mengenal pasti sebab musabab mereka yang tidak menyokong parti itu pada PRU13.

"Dalam demokrasi terbuka, mustahil bagi kita untuk dapatkan sokongan 100 peratus tetapi kalau ada kesungguhan, ikhlas, berdiri atas kebenaran, rakyat akan sokong kita akhirnya," katanya.

Pada PRU13, 5 Mei lepas, Najib mempertahankan kerusi Parlimen Pekan dengan kemenangan lebih besar apabila mengalahkan calon PKR Mohd Fariz Musa dengan majoriti 35,613 undi.

BN juga memenangi keempat-empat kerusi DUN di Parlimen Pekan iaitu Bebar, Chini, Pulau Manis dan Peramu Jaya.

Najib turut mengingatkan semua pihak supaya merapatkan kembali barisan, mengambil yang jernih dan buang yang keruh selain meningkatkan kekuatan sedia ada dan menangani kelemahan bagi menghadapi cabaran PRU akan datang.

"Kepada semua wakil rakyat, berilah perkhidmatan terbaik kepada rakyat, matlamat kita bukan nak jadi wakil rakyat atau mahukan kuasa semata-mata tetapi keinginan untuk berkhidmat kepada rakyat, jangan sombong dan mungkir janji," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts