KARPAL JANGAN KELIRUKAN RAKYAT : ABU ZAHAR


KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Karpal Singh diminta tidak mengelirukan rakyat dengan cadangan memansuh Dewan Negara.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, cadangan itu tidak menggambarkan sikap ahli parlimen yang bertanggungjawab.

``Saya mohon sahabat saya (Karpal) yang juga seorang peguam menghormati undang-undang. Terpulang kepada dia, rakyat menilai dan tahu tanggungjawab mereka.

``Saya menasihatkan semua pihak memahami perlembagaan itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas angkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara bagi penggal kedua.
Beliau mengulas cadangan Karpal sebelum ini yang mencadangkan supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan Dewan Negara dimansuhkan.

Karpal berkata, cadangan itu dikemukakan kerana kewujudan Dewan Negara tidak memberi makna secara menyeluruh dan hanya membazir.

Terdahulu, upacara angkat sumpah dilakukan di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Doris Sophia Brodi di bangunan Parlimen.

Abu Zahar, 69, bekas presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) dilantik semula sebagai anggota Dewan Negara berkuat kuasa 26 April lepas setelah tempoh penggal pertamanya berakhir sehari sebelum itu.

Dalam pada iru, Zahar menyatakan janji untuk menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tanpa prejudis.
``Saya akan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin demi bangsa, agama dan negara, tanpa ada prasangka, prejudis dan sebagainya,'' ujarnya.
  
Beliau memulakan karier pada 1964 sebagai inspektor Polis DiRaja Malaysia dengan jawatan terakhir sebagai timbalan penguasa polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada 1979.
  
Pada 1980 hingga Jun 1986, Abu Zahar meneruskan profesion guaman di ibu negara sebelum dipilih sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Pilah dan dilantik anggota exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan.


Pada 1991, beliau mempertahan kerusi DUN berkenaan sebelum dipilih sebagai anggota Parlimen Kuala Pilah selama satu penggal bermula 1995 hingga 1999.
Astro Awani

Comments

Popular Posts