KENYATAAN CEO AIRASIA X: ROSNI DESAK TINDAKAN TEGAS RAFIDAH


KUALA LUMPUR:  Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita Umno, Datuk Rosni Sohar mendesak tindakan tegas dari Tan Sri Rafidah Aziz berhubung kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia X, Azran Osman-Rani.

"CEO AirAsia X tersebut tidak menghormati Tan Sri Rafidah Aziz yang merupakan pemimpin Wanita Umno yang membela kepentingan wanita bangsa Melayu di Malaysia.

"Beliau sepatutnya sedar akan kedudukan beliau sendiri sebagai anak Melayu yang mendapat manfaat besar di syarikat penerbangan tersebut," kata Rosni.

Menurut beliau, tindakan tegas oleh Rafidah adalah penting bagi membuktikan semangat kebangsaan syarikat yang mewakili nama baik Malaysia di serata dunia itu masih terus kekal.

"Saya harap Tan Sri Rafidah tidak hanya lantang mengkritik dan mengadu-domba dalam wanita Umno sahaja, tetapi apabila perkara yang membabitkan kepentingan Melayu, beliau mengambil keputusan hanya berdiam diri.

"Mungkinkah beliau sendiri setuju dengan kenyataan Azran tersebut? Apakah begini sikap seorang ahli Majlis Tertinggi Umno?" tambah beliau.

Utusan Malaysia pada 7 Mei lalu menyiarkan laporan muka hadapan bertajuk 'Apa lagi Cina mahu?' dimana
Azran secara terbuka menerusi akaun laman sosial Twitter miliknya membidas pendirian Utusan Malaysia itu dan menganggap ianya sebagai bersifat perkauman kerana menyiarkan artikel tersebut.


Susulan itu juga pada 16 Mei lalu, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil mengeluarkan kenyataan bahawa Wanita Umno kecewa dan meminta Rafidah memberikan penjelasan secepat mungkin.

Rosni turut menyatakan sokongan beliau terhadap Shahrizat mengenai sikap Rafidah yang berdiam diri ke atas kenyataan Azran sebelum ini.

"Persoalannya, adakah Azran membuat kenyataan ini setelah mempertimbangkan atau membaca akhbar-akhbar Cina yang lebih rasis dari Utusan Malaysia? Saya bagi pihak Wanita Umno mendesak Azran untuk membuat permohonan secara terbuka kepada semua orang Melayu di Malaysia," kata Rosni menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Comments

Popular Posts