PDRM: JANGAN TERUSKAN HIMPUNAN BLACKOUT


JOHOR BAHRU 15 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran kepada penganjur Himpunan Blackout 505, Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk tidak meneruskan himpunan tersebut malam ini ekoran tidak mendapat kelulusan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, himpunan tersebut tidak memenuhi syarat yang tertakluk dibawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang sedia ada kepada mereka yang menyertai perhimpunan itu," katanya kepada pemberita semalam.

Jelas Zainuddin, PDRM ada dimaklumkan mengenai himpunan tersebut walaubagaimanapun permohonan yang dikemukakan lewat daripada tempoh yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Ruslan Hassan turut menegaskan kepada penganjur dan peserta untuk tidak meneruskan himpunan sama di mana-mana lokasi.
"Polis telah menerima maklumat awal bahawa satu himpunan akan diadakan di Sutera Mall. Saya ingin menegaskan himpunan itu tidak mematuhi kehendak Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana tiada sebarang notis dikemukakan kepada polis oleh mana-mana individu, persatuan atau kumpulan.

"Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai himpunan berkenaan dan polis akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.
 
Sumber : KLPos dot com

Comments