PRU13: ANALISIS POLITIK BIDAS TOHMAHAN ANWAR KENATAS SPR
KUALA LUMPUR 7 Mei - Dakwaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa wujudnya penipuan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) serta mendesak penjelasan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat sebagai tohmahan yang bersifatkan politik.
Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, tohmahan Anwar itu adalah tidak berasas dan tidak wajar kerana isu ini mempersoalkan kredibiliti SPR yang sebelum ini telah melakukan pelbagai langkah bagi membuktikan ketelusan dalam proses pemilihan.
"Satu bukti yang kukuh kita ada sekarang adalah dengan kehadiran pemerhati antarabangsa, bukankah itu menunjukkan ketelusan SPR? Apa lagi yang perlu dipersoalkan," katanya.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menjelaskan, banyak lagi penambahbaikkan dilakukan dari awal lagi sehingga penggunaan dakwat kekal.
"Kawasan yang dia menang tidak dijadikan isu, sebaliknya mengeluarkan rasa tidak puas hati apabila secara keseluruhannya keputusan keluar," katanya.
Sementara itu, rakan sefakulti, Prof Dr Samsudin Abd. Rahim berpendapat, Anwar dilihat terlalu yakin bahawa keputusan PRU kali ini memihak kepada Pakatan Rakyat.
Katanya, keyakinan itu telah menyebabkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bertindak drastik membuat tuduhan liar terhadap peranan SPR.
"Kalau tidak dapat terima keputusan pusat, jangan terima keputusan negeri terutamanya negeri-negeri yang dimenangi seperti Selangor dan Kelantan.
Sebagai seseorang ahli politik, Anwar perlu menerima kekurangan dan kelebihan apabila berlakunya Pilihan Raya Umum," katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Pengarah Kriminologi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr P. Sundramoorthy menganggap rakyat Malaysia telah bergerak ke arah kematangan politik dan demokrasi yang progresif.
Jelasnya, bilangan terbesar pengundi keluar mengundi pada PRU-13 Ahad, dengan 84.84 peratus untuk kerusi Parlimen telah mencerminkan hal ehwal politik negara diambil berat berbanding pilihan raya sebelum ini.
"Rakyat mengamalkan proses demokrasi secara bertanggungjawab untuk melakukan perubahan melalui undi dan tidak secara demonstrasi atau perhimpunan.
"Maka keputusan dibuat menerusi undi menunjukkan rakyat memilih saluran yang betul dalam proses demokrasi Negara," ujarnya.
Sundramoorthy juga memuji tindakan polis yang menjalankan tugas secara cekap, profesional dan berkecuali pada PRU-13 dengan menjamin tahap keselamatan kepada semua pihak dari mula tempoh berkempen sehingga hari pengundian pada Ahad lalu.
Keputusan rasmi PRU13 menyaksikan BN memperolehi 133 kerusi Parlimen dan berjaya merampas kembali Negeri Kedah.
Manakala 89 kerusi lagi dimenangi PR sekaligus mempertahankan tiga buah Negeri di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang.
Sumber: KLPos dot com
Comments
Post a Comment