PDRM ADA ALASAN TAHAN INDIVIDU BAWAH AKTA HASUTAN : ZAHID


PUTRAJAYA:  Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mempunyai alasan kukuh bila bertindak menahan pemimpin pakatan rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Akta Hasutan 1984.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia tertakluk sepenuhnya di bawah kuasa polis dan operasi itu sudah diserahkan sepenuhnya kepada mereka.

"Segala urusan operasi saya serahkan kepada polis dan saya yakin tentu mereka ada bukti dan asas kukuh. Saya langsung tidak langsung campur tangan dalam penahanan itu, dan saya harap wartawan dapat tanya polis sendiri,'' katanya.

Beliau berkata kepada media selepas membuat lawatan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini.

Zahid mengulas penahanan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, aktivis Pas, Tamrin Ghafar Baba dan pemimpin NGO Asalkan Bukan UMNO (ABU), Haris Ibrahim di bawah Akta Hasutan 1948.

Zahid menegaskan sekali gus menafikan sama sekali campur tangannya dalam isu penahanan itu.

Dalam pada itu katanya, JPN akan menyiasat kes kehilangan 133 ribu kad pengenalan sejak Januari sehingga Mac tahun ini.

"Kita mempertimbangkan untuk meningkatkan kadar denda selain menyifatkannya sebagai sangat serius. Sebelum ini sekali hilang kita kenakan denda RM100, kemudian RM200 dan meningkat mengikut bilangan kali hilang.

"Kita tidak mahu JPN dikaitkan dengan isu pengundi hantu lebih-lebih lagi apabila menjelang pilihan raya kelak,'' ujarnya.

Tambah Zahid, pihaknya bersedia menyiasat dakwaan penipuan pilihan raya yang didakwa berlaku kerana daftar warganegara JPN yang tidak kemas.

Namun jelasnya, kementeriannya hanya boleh menyiasat jika pihak yang membuat dakwaan menyerahkan bukti bagi menyokong dakwaan berkenaan.

Astro Awani

Comments

Popular Posts