UNDANG-UNDANG PERKAHWINAN BAWAH UMUR PERLU DIKAJI SEMULA : AZIZAH


KUALA LUMPUR:  Undang-undang sivil dan syariah negara perlu dikaji semula bagi memperketatkan peraturan berkaitan perkahwinan bawah umur, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun.

Beliau berkata ini penting bagi menutup ruang untuk mereka yang cuba "mengambil kesempatan" peruntukan undang-undang sedia ada termasuk undang-undang syariah yang membolehkan perkahwinan bawah umur diiktiraf sebagai sah, asalkan memenuhi syarat-syarat tertentu.

Kita akan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pakar undang-undang sivil dan syariah sama ada terdapat keperluan menggubal undang-undang baru atau menambahbaik undang-undang Sivil dan Syariah sedia ada.

"Misalnya, mengikut peruntukan undang-undang sekarang (syariah), apabila seorang bapa (ibu bapa) dan Mahkamah Syariah membenarkan kanak-kanak itu (berkahwin) maka perkahwinan itu dibenarkan walaupun masih muda atau bawah umur," katanya kepada pemberita pada majlis kesyukuran di kediamannya di Likas, dekat sini semalam.

Azizah berkata demikian ketika diminta mengulas satu kes di Mahkamah Sesyen di sini baru-baru ini, membabitkan seorang lelaki berumur 40 tahun yang didakwa merogol gadis berusia hampir 13 tahun, dan kemudiannya memaklumkan dia berkahwin dengan gadis itu mengikut undang-undang Syariah.


Apa pun oleh kerana kanak-kanak perempuan itu berumur di bawah 16 tahun, maka mengikut undang-undang negara kita ia dianggap rogol (mangsa bawah umur) walaupun mungkin ada elemen "kerelaan", dan dalam kes ini, kelihatan bahawa kes rogol ini berlaku sebelum berkahwin," katanya.

Dalam hal ini, Azizah berkata sudah tiba masanya undang-undang berkaitan perkahwinan bahawa umur yang melibatkan kanak-kanak yang masih muda diperketatkan.

Ini kerana kita bukan lagi seperti zaman dahulu kala, sekarang ini kita mahu melihat anak-anak kita menjadi dewasa dan melalui kehidupan yang lebih baik sebelum mereka melalui alam perkahwinan.

Apatah lagi dalam kes ini, kanak-kanak ini baru berusia 13 tahun dan dalam usia ini dia sepatutnya masih di Tingkatan 1 atau alam persekolahan...bukannya terikat dengan perkahwinan dengan seorang lelaki yang sudah berumur dan mempunyai keluarga sendiri, katanya.

Azizah berkata kanak-kanak yang berada dalam situasi itu perlu dilindungi, dan "sememangnya negara ini mempunyai Akta Kanak-kanak yang boleh digunapakai bagi tujuan itu".

Beliau juga tidak menafikan bahawa perkahwinan bawah umur merupakan antara punca atau menyumbang kepada kewujudan ramai ibu tunggal golongan muda terutama di kawasan luar Bandar di Sabah.

Kebanyakan mereka ini berkahwin awal atau muda. Mereka tiada pekerjaan tetap, lalu mereka tidak dapat meneruskan kehidupan berumahtangga dan menjaga keluarga dengan baik menyebabkan lelaki itu kemudiannya ke bandar untuk mencari pekerjaan dan meninggalkan isteri dan anak-anak di kampung.

"Oleh kerana masih berjiwa muda remaja, maka lelaki itu lama-kelamaan lupa pada isteri dan anak-anak di kampung dan akhirnya berlaku penceraian," katanya.

Sehubungan itu, Azizah berkata kes perkahwinan bawah umur perlu ditangani dengan baik bagi mengelak masalah peningkatan bilangan ibu tunggal muda, dan "apabila timbul masalah ibu tunggal di situlah timbul pelbagai masalah lain seperti ekonomi. Bagaimana untuk hidup untuk diri sendiri dan anak-anak?".

Dalam hal ini, Azizah berkata kementeriannya di peringkat Persekutuan dan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah akan terus bekerjasama bagi memperhebatkan program kesedaran kepada masyarakat seterusnya mengelak kejadian seumpama itu berulang.

"Kita juga akan bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) wanita di negeri ini terutama program turun padang masuk ke kampung-kampung untuk menerangkan pelbagai isu berbangkit terutama perkahwinan yang membabitkan pasangan bawah umur," katanya.

"Sebenarnya masalah ini agak rumit kerana kita berhadapan dengan masalah adat. Bukan sahaja perundangan tetapi adat..kerana mungkin ada adat di kampung yang membolehkan perkahwinan muda. Kita tidak mahu wujud keadaan di mana berlakunya pertembungan kepentingan antara kehendak kita untuk melindungi kanak-kanak dan undang-undang adat yang membolehkan perkahwinan muda dalam keadaan tertentu," katanya. - BERNAMA

Ps: pu3 setuju sangat

Comments

Popular Posts