KETUA HAKIM NEGARA : PERLU JUJUR DENGAR PETISYEN PRU13
KUALA LUMPUR: Petisyen ke atas keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang bakal dikemukakan ke mahkamah perlu didengar dengan jujur demi menjaga kepentingan awam tanpa dipengaruhi desakan mana-mana pihak, kata Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.
Beliau mengingatkan semua hakim yang bakal mendengar permohonan semakan keputusan PRU13 agar membuat keputusan penghakiman bersandarkan perbicaraan yang dijalankan dan keterangan yang dikemukakan bagi memastikan konsep keadilan dapat ditegakkan.
"Apa yang penting bagi kita adalah kita lakukannya dengan penuh kejujuran. Jangan terpengaruh dengan pandangan orang ramai. Anda hanya kendalikan penghakiman sebagaimana yang anda lihat tanpa dipengaruhi sesiapa. Tetapi laksanakan dengan kejujuran dan penuh analisa, berfikiran, independen, terbuka dan betul," kata Arifin ketika merasmikan Persidangan Majlis Hakim-hakim Malaysia Kali Ke-47, pagi tadi.
Dalam satu laporan Bernama, Arifin turut dilaporkan menasihatkan hakim untuk tidak memberikan sebarang reaksi balas terhadap komen yang dibuat oleh pengguna internet yang tidak berpuas hati dengan keputusan penghakiman.
Katanya, setiap keputusan yang sudah dibuat itu adalah muktamad dan atas pertimbangan sewajarnya oleh hakim yang bertanggungjawab dalam mendengar dan mengadili kes berkenaan.
"Walaupun ada komen yang dibuat atau disebarkan dalam internet itu berunsur negatif dan berniat menjejaskan nama baik sistem kehakiman, kita (hakim) tidak perlu melayannya kerana ia dibuat oleh mereka yang tidak memahami fakta sebenar kes," katanya.
"Perkara ini perlu diberi perhatian kerana ada trend sebelum ini... ada hakim yang cuba memperluaskan skop hak asasi kemanusiaan dalam keputusan penghakiman mereka.
"Jika ini berlaku, menjadi perhatian dan kerisauan dalam kalangan pengamal undang-undang dan akhirnya dibimbangi akan memberi gambaran tidak betul terhadap kredibiliti badan kehakiman yang bertanggungjawab menegakkan keadilan di negara ini," katanya.
Menurut beliau lagi perkara ini penting memandangkan ada parti-parti politik yang bakal mengemukakan petisyen berikutan kurang berpuas hati dengan keputusan PRU13 lalu. Banyak petisyen dijangka akan dikemukakan dari Sabah, Sarawak dan beberapa negeri di Semenanjung.
Arifin juga mengingatkan semua bahawa jangka masa pendengaran sesuatu petisyen, sebagaimana diperuntukkan dalam Akta Pilihan Raya, adalah enam bulan daripada tarikh ia difailkan.
Hadir sama, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Mohd Raus Shariff; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin dan Hakim Besar Sabah Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum.
Seramai 101 hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya Kehakiman menghadiri persidangan tahunan itu.
- astro awani
Comments
Post a Comment