PEROMPAK PECAH ATM , LESAP RM126,000


KUALA LUMPUR:  Empat lelaki melarikan wang tunai sebanyak RM126,000 selepas memecah sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dalam premis sebuah bank di Jalan 1/91, Taman Shamelin Perkasa, Cheras di sini awal hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, mereka dipercayai menggunakan gas oxy-acetylene untuk memecah mesin ATM sebelum melarikan wang rompakan.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada seorang pengusaha pusat tuisyen pada 11 pagi.

"Ketika pengusaha membuka pintu pusat tuisyennya, beliau terkejut melihat gril pintu belakang pecah.

"Hasil siasatan mendapati suspek menggunakan pintu belakang pusat tuisyen berkenaan sebelum bertindak menebuk lubang di dinding dan masuk ke bank itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mohan Singh berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, kesemua suspek berkenaan dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras atau mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan. - BERNAMA

Ps: dh terdesak nak hidup senang. Jalan mudah dan menyusahkan orang juga jadi pilihan!

Comments