PEMBANGKANG TOLAK PRU13 UNTUK TUTUP KEKECEWAAN PENYOKONG MEREKA
KUALA LUMPUR 13 Mei – Timbalan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Datuk Razali Ibrahim melihat apa yang dilakukan oleh parti pembangkang hari ini hanyalah untuk membangkitkan emosi serta cuba mengubat kekecewaan penyokong mereka yang ternyata terpedaya dengan pelbagai slogan sebelum ini kononnya mampu merampas pentadbiran Putrajaya dari BN.
Justeru beliau tidak terkejut jika pemimpin pembangkang ini akan turut serta pada majlis mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen yang akan diadakan dalam tempoh masa terdekat ini.
"Apa yang berlaku selepas pilihan raya umum ke-13 ini, mereka hanya bertujuan untuk menutup kekecewaan. Kita pun dah tahu banyak kali benda yang disebutkan mereka itu tidak masuk akal dan kita nak layan pun buang masa kita sahaja.
"Penyokong tegas mereka akan terus menyokong namun dari segi majoriti rakyat saya percaya majoriti faham apa yang sedang berlaku. Sebab itu saya tidak terkejut apabila kita angkat sumpah nanti mereka pun akan ada. Takkan dipersoalkan sebab ini sistem yang kita guna," katanya kepada UMNO-Online di sini.
Tegas beliau semua pihak perlu bergerak ke depan dan redha dengan keputusan yang telah dilaksanakan oleh rakyat.
"Jadi kita tidak perlu buang masa dengan apa yang dibangkitkan kerana ini yang mereka mahu. Lagi lama perkara ini berpanjangan lagi lama hayat mereka. Pada saya kita harus bergerak ke depan kerana pada saya kita kena terima hakikat pilihan raya kali ini dilangsungkan dengan baik. Pada saya pilihan raya kali ini cukup telus dan cukup baik malahan kita patut beri tahniah kepada SPR dan pegawai serta penguatkuasa.
"Kedua dalam keadaan pilihan raya dilangsungkan dengan mengikut peraturan negara, BN menang di Parlimen dan merampas balik Kedah. Hakikat ini tidak boleh kita tolak. Mereka nak dakwa mereka menang dan kita pula yang kalah adalah sesuatu yang tak boleh diterima akal.
"Ketiganya kita kena pergi ke depan. Sistem negara kita adalah sistem di mana Raja Berpelembagaan. Kita ada Parlimen dan kita ada pilihan raya dan pengundi telah diberikan hak serta tanggungjawab dan siapa yang dipilih kena buat kerja untuk terus bangunkan negara menyatupadukan rakyat untuk terus bina semangat nasionalisme di kalangan rakyat untuk maju dengan lebih baik," ujatnya.
Beliau seterusnya menambah dalam situasi hari ini ianya menuntut kepada konsep redha.
"Saya rasa orang yang berilmu dan ada pemikiran mereka akan nampak bahawa apa yang berlaku di depan mata kita ini adalah yang ditetapkan dan saya percaya selepas kita berusaha dan bertawakkal, sekarang ini dalam tempoh untuk kita redha.
"Konsep redha ini yang tidak ada dikalangan sesetengah pemimpin pembangkang. Mereka lupa sebagai orang Islam umpamanya sebagai contoh kita kena tahu keputusan ini ada sebab dan kita kena redha.
"Apa yang Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib sebut itu pada saya mudahnya konsep redha. Mereka tidak boleh terima hakikat dan tidak ada konsep redha. kita kena redha. Kita dah usaha, mereka pun usaha dan mereka tawakkal kita pun tawakkal . Dia doa kita pun doa akhirnya keluar keputusan ini kita kena terimalah. Itu maknanya. Maksud itu redha dengan apa yang berlaku. Kata sayang negara…jadi jagalah negara," katanya. -MediaUMNO
Comments
Post a Comment