ANGGOTA DAP TIDAK TERIMA NOTIS PANGGILAN HADIRI KONGRES: DAP
KUALA LUMPUR: Siasatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) mendapati ramai anggota DAP yang layak, tidak menerima notis panggilan untuk menghadiri kongres kebangsaan parti, pada 15 Dis lalu.
Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman berkata keputusan siasatan itu diperoleh selepas siasatan ke atas aduan daripada anggota DAP yang tidak menerima notis tersebut.
"Anggota-anggota DAP yang tidak menerima notis itu telah dinafikan hak untuk mengundi dan seterusnya membuat pemilihan di kongres tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Rahman juga memaklumkan bahawa ROS akan meneruskan siasatan terhadap isu lain yang dikemukakan pengadu dan akan meneliti semua dokumen sebelum keputusan dibuat berdasarkan Akta Pertubuhan 1966.
Isu pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti berkenaan pada tahun lalu menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan oleh anggotanya sendiri apabila DAP dikatakan gagal memberikan notis kepada 753 delegasi yang merupakan anggota sah dan layak mengundi pada hari tersebut. - BERNAMA
Comments
Post a Comment