JAWATANKUASA KESELAMATAN TAHANAN POLIS DITUBUH


KUALA LUMPUR:  Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu jawatankuasa penambaikan berhubung langkah-langkah untuk menjamin keselamatan tahanan polis di lokap PDRM.

Pengarah Pengurusan PDRM Bukit Aman Datuk Mortadza Nazarene hari ini memaklumkan bahawa polis komited dalam menangani isu kejadian mengejut di lokap polis.

"Jawatankuasa ini diketuai oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang ditubuhkan bagi mengelakkan kematian mengejut di dalam lokap," jelas Mortadza dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Antara pendekatan yang diambil ialah dengan mewujudkan lokap berpusat yang didirikan di Jinjang, Shah Alam, Kuantan, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.

"Kemudahan di lokap berpusat ini amatlah baik sekali. Ia dapat menjamin kesihatan dan keselamatan petugas, banduan dan Orang Kena Tuduh (OKT).

"Lokap berpusat ini dilengkapi dengan Rakaman Kamera Litar Terturtup (CCTV), sitem interkom, bilik peguam, bilik pengawal pengiring, bilik kawad cam, bilik transit dan ruang makan.

"Ini adalah lebih baik daripada lokap yang berada di balai. Sebab itu kami mahu laksanakan perkara ini," jelas Mortadza.

Mortadza turut memberitahu PDRM akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas OKT atau banduan yang ditahan di dalam lokap.

"Doktor akan membuat pemeriksaan kesihatan sebelum OKT dimasukkan ke dalam lokap dan pegawai perubatan akan membuat lawatan dua hari sekali ke lokap berkenaan.

"Lembaga pelawat dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kini dibenarkan untuk membuat lawatan ke lokap bersama pegawai penjaga lokap," ujar Mortadza.

Baru-baru ini dua OKT N Dhamendran, 32, dan R Ramesh, 40, telah ditemui mati di lokap Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Pada minggu lalu, polis telah mengesahkan kematian Dhamendran mempunyai unsur-unsur jenayah sewaktu ditahan di lokap berkenaan.

Menurut sumber polis, pasukan khas Bukit Aman yang menyiasat kes itu sedang giat melengkapkan siasatan kes dan beberapa orang saksi telah disoal dan beberapa lagi kenyataan akan direkodkan. - Astro Awani

Comments

Popular Posts