USAH CABAR POLIS DENGAN SERTAI PERHIMPUNAN HARAM : ZAHID


KUALA LUMPUR:  Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi memberi peringatan kepada peserta yang akan menyertai perhimpunan haram agar jangan cuba mencabar pihak polis.

"Jangan main-main dengan polis dan jangan permainkan perasaan rakyat bagi menimbulkan suasana yang tidak tenteram.

"Cukuplah melakukan provokasi kepada rakyat dan pihak polis kalau mahu dihormati," ujar Zahid.

Katanya Akta Perhimpunan Aman (APA) mengizinkan perhimpunan diadakan tetapi mengikut peraturan yang disediakan.

"Memberitahu pihak polis 10 hari awal, diadakan di tempat yang tertutup. Mereka sangat mengetahui kerana mereka mempunyai penasihat undang-undang yang tersohor," jelas Menteri Dalam Negeri.

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu turut mempersoalkan perlakuan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau juga berkemungkinan akan ditahan.

"Beliau (Anwar) telah lama bergiat dalam bidang politik. Beliau telah menggunakan pendekatan 'reverse psychology'. Mesej yang disampaikan seakan dapat menimbulkan kemarahan.

"Kenapa perlu takut kalau tidak melakukan kesalahan? Kenapa perlu menyanggah undang-undang yang telah sama kita bahaskan di Dewan Rakyat?," tanya Zahid.

Dalam pada itu Zahid memberitahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak merampas akhbar terbitan pembangkang berdasarkan lunas perlembagaan.

"Pegawai KDN menjalankan tugas di bawah Akta Mesin Cetak. Jika penerbitan untuk ahli biasa seharusnya pengedaran kepada ahli sahaja.

"Kenapa mesti dijual di kedai-kedai? Ada penerbitan yang tidak menulis untuk 'ahli sahaja', tidak mendapat permit KDN dijual juga di kedai," tambah Zahid.

Pemimpin Pas turut mendapat pujian Zahid apabila berani tampil dengan perspektif sendiri.

"Saya menghormati pemimpin Pas kerana mereka mengiktiraf keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan mereka tidak bersetuju dengan perhimpunan haram yang dilakukan.

Zahid diwawancara dalam rancangan Helo Malaysia yang disiarkan Bernama TV pada Jumaat. - BERNAMA

Comments