PERLANTIKAN 3 PEMIMPIN KDM BUKTI NAJIB PRIHATIN KEPERLUAN PENDUDUK PEDALAMAN : PAIRIN

KOTA KINABALU: Pelantikan enam menteri penuh dari Sabah termasuk tiga pemimpin Kadazandusun Murut (KDM) dalam barisan Kabinet persekutuan membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak prihatin terhadap keperluan rakyat negeri ini khususnya di kawasan pedalaman.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan juga menyifatkan
pelantikan tiga pemimpin KDM itu akan menyerlahkan lagi pembabitan masyarakat itu dalam arus pembangunan perdana. Tiga pemimpin KDM itu ialah Datuk Seri Maximus Ongkili sebagai Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Tan Sri Joseph Kurup (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Dr Ewon Ebin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri berkata, pelantikan lebih ramai menteri dari Sabah (dan juga Sarawak) menggambarkan bahawa Kabinet Persekutuan adalah satu pasukan yang merangkumi semua latar belakang pemimpin.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Kaamatan Bandaraya Kota Kinabalu anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Lintasan Deasoka, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Ahmad, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri merangkap menteri yang bertanggungjwab terhadap DBKK, Datuk Edward Yong, Mayor Bandaraya Datuk Abidin Madingkir dan Konsult Republik Indonesia di Kota Kinabalu Sabah Soepeno Sahid.
"Kita mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas pelantikan itu dan syabas kepada semua menteri yang sudah dilantik. Ini amat bermakna bagi kita untuk membolehkan kita sama-sama mengambil bahagian dalam perbincangan dalam Kabinet Persekutuan.

"Ini tepat sekali kerana kita memerlukan pembabitan daripada Sabah terutama pemimpin dari pedalaman. Apabila disebut pedalaman, kadang-kala kita dilupai kerana ia di kawasan pedalaman dan jauh. Oleh itu pelantikan beberapa menteri penuh di kalangan KDM, ianya akan membawa masyarakat pedalaman lebih dekat dengan pembangunan," katanya.

Pairin yang juga Huguan Siou (pemimpin agung masyarakat KDM) percaya perhatian khusus yang akan diberikan kepada masyarakat KDM di negeri ini akan dapat membantu memajukan kawasan pedalaman.

Dalam pada itu, beliau turut meminta rakyat Sabah supaya kembali bersatu selepas menempuh cabaran pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lalu.

Beliau berkata, walaupun rakyat negeri ini mempunyai fahaman politik yang berbeza, namun pilihan raya umum sudah berakhir dan tumpuan sekarang ialah melihat ke depan untuk sama-sama memajukan Sabah ke tahap yang lebih baik.

Pairin berharap rakyat pelbagai kaum di Sabah menjadikan perayaan Pesta Kaamatan sebagai landasan untuk mengukuhkan perpaduan, sekali gus memastikan rakyat terus hidup aman, damai dan harmoni.

Selain tiga pemimpin KDM berkenaan, Sabah turut diwakili dalam Kabinet persekutuan menerusi Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah); Datuk Seri Anifah Aman (Menteri Luar) dan Datuk Abdul Rahman Dahlan (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Sementara itu, tiga timbalan menteri dari Sabah terdiri Datuk Mary Yap (Kementeri Pelajaran dan Pengajian Tinggi); Datuk Abdul Rahim Bakri (Kementerian Pertahanan); Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (Kementerian Kerja Raya) dan Datuk Azizah Mohd Dun (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Pada pilihan raya umum ke-13, BN Sabah yang diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menang 22 kerusi Parlimen dan 48 kerusi Dewan Undangan Negeri. - BERNAMA

Comments

Popular Posts