FESTIVAL BELIA PUTRAJAYA 2013: SUKAN LASAK TAMBAT HATI BELIA


PUTRAJAYA:  Sinonim dengan gaya hidup belia masa kini yang gemar melakukan aktiviti lasak, beberapa acara sukan lasak dilihat menjadi tarikan utama pengunjung untuk hadir pada Festival Belia Putrajaya 2013.
Festival yang berlangsung selama empat hari, 23 hingga 26 Mei ini bertujuan membuka peluang kepada belia untuk melihat dan mencuba beberapa aktiviti sukan lasak selain memperkenalkannya ke persada tanah air.

Penggemar sukan lasak, Muhammad Syahmi Norman, 27, ditemui berkata, aktiviti sukan lasak atau lebih dikenali sebagai sukan ekstrem kini bagaikan gelombang yang membawa satu transformasi kepada gaya hidup rakyat Malaysia.

Tambahnya, sejajar dengan perkembangan anak muda yang mahukan sesuatu yang baru dan mencabar menjadikan aktiviti ini antara pilihan golongan tersebut.

"Sukan lasak memerlukan keberanian dan daya tahan fizikal yang tinggi di samping menggambarkan tahap kemampuan pemikiran sesebuah komuniti dan tentunya golongan ini tidak mahu ketinggalan," ujarnya.

Bagi pengunjung, Mohammad Rozaidi Zulkifli, 22, berkata festival sebegini memudahkan para penggemar sukan lasak mendapatkan pelbagai maklumat.

"Misalnya maklumat berkaitan sukan rock climbing. Ramai yang tidak tahu sukan ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental serta memerlukan ciri-ciri keselamatan yang tinggi."

"Pengunjung akan diberi informasi menarik berkaitan aktiviti tersebut. Sekurang-kurangnya, mereka yang tidak menggemari sukan ini akan teruja lalu turut sama menyertai setelah tahu cara-cara dan cabaran getir yang dilalui," katanya.

Antara aktiviti lasak yang menjadi tumpuan ramai pengunjung seperti scuba pool, rock climbing, paint ball, motor cross, trike cycle, orbing ball dan scuba pool.

Selain itu, sebuah kolam binaan turut dibina untuk latihan skuba yang dijangka dapat menarik minat lebih ramai pengunjung.-Astro Awani

Comments

Popular Posts