PRU13: ISU DAKWAT KEKAL


Sudah biasa..kalau ikut stail puak pembangkang segalanya terus nak memekak.Kali ini belum apa-apa lagi sampai nak minta Pengerusi SPR Tan Sri Aziz Yusof letak jawatan.

Ini gara-gara isu pengunaan dakwat kekal pada hari pengundian awal Selasa melibatkan lebih 200,000 anggota tentera dan polis dimana didapati ada antaranya boleh tanggal bila dibasuh.

Kalau bab nak cetuskan keraguan konon kerajaan nak menipu masa PRU13 serah saja kepada puak-puak ini.

Naib Presiden PKR Tian Chua terus buat laporan polis selepas dakwa 20 orang anggota pasukan keselamatan tunjuk kepadanya dakwat itu tanggal setelah dibasuh.

Juga calon Parlimen kawasan Batu,Kuala Lumpur ini desak Aziz letak jawatan.

Nurul Izzah juga bising pasal ini dan buat laporan polis.

Spatutnya mereka perlu relaks dan tidak buat gamat.Kata orang check dulu sebelum nak melompat.

Ikut ceritanya dakwat kekal  ini boleh kata sama macam kita beli sebotol ubat di kedai.

Biasanya sebelum minum makan ubat berkenaan botol digoncang dulu.Ini sudah menjadi amalan.

Petugas SPR pun manusia biasa.Ada yang betul-betul ikut arahan goncang botol dulu dan ada yang mungkin tidak.

Maka timbulah keadaan seperti Selasa ada dakwat kekal lekat mantap dan ada yang tidak.
Ekoran hu ha isu ini Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria telah mengeluarkan satu kenyataan media Selasa malam untuk menjelaskan kedudukan sebenar.

Beliau berkata dakwaan dakwat kekal yang dicalit pada jari seorang pengundi awal mudah hilang dengan membasuh jarinya mungkin disebabkan kegagalan sebahagian petugas SPR mematuhi cara penggunaan dakwat itu.


Katanya ekoran dakwaan mengenainya SPR membuat beberapa ujian semalam dan hasilnya jari mereka yang telah dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya digoncang lebih kekal dakwat itu di jari mereka dibandingkan dengan botol yang tidak digoncang.

"Walau apa pun kesan dakwat kekal itu, SPR ingin menegaskan bahawa setiap pengundi awal yang telah selesai mengundi pada 30 April 2013 tidak boleh mengundi sekali lagi pada hari pengundian biasa kerana nama mereka tidak wujud dalam daftar pemilih pilihan raya bagi pengundi biasa yang akan mengundi pada 5 Mei 2013," katanya.

Oleh itu, SPR akan meneruskan penggunaan dakwat kekal pada 5 Mei 2013 selaras dengan kehendak undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Beliau berkata SPR telah menerima maklumat berlaku penyebaran gambar melalui laman sosial mengenai pendedahan oleh seorang pengundi awal bahawa dakwat kekal yang dicalit pada jarinya mudah hilang dengan membasuh jarinya.

Kamaruddin berkata SPR juga menerima maklumat bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh seorang pemimpin parti politik berkaitan perkara itu.

Ujian yang dilakukan oleh SPR adalah terhadap pegawai-pegawai SPR yang telah mengundi secara pos dengan sebahagian daripada mereka dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya tidak digoncang dan sebahagian yang lain pula dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya digoncang.

Ujian ini dibuat berdasarkan kepada cara penggunaan dakwat kekal sebagai mana yang dikehendaki dan dinyatakan pada kotak dan botol dakwat kekal, katanya.

Beliau berkata SPR ingin memaklumkan bahawa SPR membuat beberapa kali ujian terhadap dakwat kekal itu sebelum ia dibekalkan untuk digunakan dalam pilihan raya umum ke-13.

SPR akan mengadakan demonstasi kepada wakil media untuk menunjukkan perkara itu.-30/4/2013

KENYATAAN MEDIA SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA

1.Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima maklumat berlaku penyebaran gambar melalui laman sosial mengenai pendedahan oleh seorang pengundi awal bahawa dakwat kekal yang dicalit pada jarinya mudah hilang  dengan membasuh jarinya. Gambar jari yang dakwat kekal itu telah hilang dimuat naik dan disebarkan melalui laman sosial.SPR juga telah menerima maklumat bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh seorang pemimpin parti politik berkaitan perkara itu.

2.SPR ingin memaklumkan bahawa SPR telah membuat beberapa kali ujian terhadap dakwat kekal itu sebelum ia dibekalkan untuk digunakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13. Terbukti daripada ujian-ujian itu, dakwat itu kekal  bagi tempoh 5 hingga 7 hari.

3. Berikutan dengan laporan polis itu, SPR telah berbincang dan mendapat maklum balas kemungkinan perkara itu berlaku disebabkan oleh kegagalan sebahagian daripada petugas SPR untuk mematuhi cara penggunaan dakwat kekal sebagai mana yang dikehendaki dan dinyatakan pada kotak dan botol dakwat kekal. Sebaik selepas SPR menerima laporan polis dan maklum balas itu, suatu arahan telah dikeluarkan kepada semua petugas SPR untuk mematuhi cara penggunaan dakwat kekal sebagai mana yang dikehendaki dan dinyatakan pada kotak dan botol dakwat kekal.

4.SPR juga  telah membuat beberapa ujian menggunakan dakwat kekal pada 30 April 2013 terhadap pegawai-pegawai SPR yang telah mengundi secara pos.  Sebahagian daripada mereka ini telah dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya tidak digoncang  dan sebahagian yang lain pula  telah dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya telah digoncang. Hasilnya,  SPR mendapati jari mereka yang telah dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya telah digoncang lebih kekal dakwat itu di jari  mereka dibandingkan dengan jari mereka yang dicalit menggunakan dakwat kekal yang botolnya tidak digoncang. Ujian ini dibuat berdasarkan kepada cara penggunaan  dakwat kekal sebagai mana yang dikehendaki dan dinyatakan pada kotak dan botol dakwat kekal.

5.Sebagai tambahan kepada perkara yang disebut terdahulu, SPR akan mengadakan suatu demonstrasi kepada wakil media pada 2 Mei 2013  untuk menunjukkan bahawa dakwat kekal ini jika dicalitkan pada jari pengundi  mengikut cara penggunaan  dakwat kekal sebagai mana yang dikehendaki dan dinyatakan pada kotak dan botol dakwat kekal, dakwat tersebut akan lebih kekal di jari pengundi.  

6.Walau apa pun kesan dakwat kekal itu,SPR ingin menegaskan bahawa setiap pengundi awal yang telah selesai mengundi  pada 30 April 2013  tidak boleh mengundi sekali lagi pada hari pengundian biasa kerana nama  mereka  tidak wujud dalam daftar pemilih pilihan raya  bagi pengundi biasa  yang akan mengundi pada 5 Mei 2013.

7.Oleh itu SPR akan  meneruskan penggunaan dakwat kekal pada 5 Mei 2013 ini  selaras dengan kehendak undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Sekian dan terima kasih.

(DATUK KAMARUDDIN MOHAMED BARIA)
Setiausaha
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
30 April  2013
Sumber: agendadaily

Comments

Popular Posts