WASPADA BELI PRODUK KOMUNIKASI MURAH : SALLEH SAID KERUAK


KOTA BELUD:  Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak meminta orang ramai supaya sentiasa peka dan berwaspada ketika membeli sesuatu produk komunikasi yang ditawarkan pada harga murah.


Beliau turut mengingatkan mereka supaya tidak membeli produk-produk yang tidak memiliki label perakuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) atau yang tidak diperakukan kerana ia dikategorikan sebagai peranti tidak standard.

Gunakan kuasa anda sebagai pengguna untuk memilih produk yang berkualiti dan mematuhi piawaian.

Pada masa yang sama, semak terlebih dahulu kesahihan label sebelum membuat pembelian melalui laman sesawang https://ecomm.sirim.my atau aplikasi mudah alih 'Check Your Label' yang boleh dimuat turun daripada Play Store/ Google Play dan App Store, katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Standard Sedunia, hari ini.

Beliau berkata Hari Standard Sedunia bertujuan meningkatkan tahap kesedaran semua pihak termasuk badan kawal selia, industri dan orang ramai mengenai pentingnya standard dalam menggalakkan perkembangan ekonomi dan sumbangannya dalam kehidupan seharian.

Dalam konteks ekonomi global, produk-produk yang mematuhi standard antarabangsa lebih berpeluang menembusi pasaran global. Ini kerana produk yang dihasilkan berasaskan standard atau piawaian lebih diterima di kebanyakan negara kerana diyakini kualitinya dan selamat untuk digunakan.

Dalam sektor komunikasi dan multimedia pula, piawaian memainkan peranan amat penting dalam membangunkan infrastruktur komunikasi yang boleh memastikan peralatan mematuhi aspek-aspek keselamatan, kesalingbolehkendalian, kebolehpercayaan dan penggunaan frekuensi yang dibenarkan selain mewujudkan suasana persaingan perniagaan yang sihat di kalangan pengeluar dan pembekal, katanya.

Justeru itu, Salleh berkata semua kelengkapan komunikasi di Malaysia perlu diperakui terlebih dahulu.

Ini bermakna, sampel kelengkapan komunikasi bukan sahaja perlu diuji oleh makmal pengujian yang diiktiraf untuk memastikan pematuhan terhadap standard-standard yang ditetapkan malahan mesti diperakui oleh SIRIM QAS International selaku agensi pemerakuan yang diiktiraf oleh SKMM dan mempunyai label pemerakuan, katanya.

Setiap 14 Okt seluruh dunia menyambut Hari Standard Sedunia bagi menghargai kerjasama dan sumbangan pakar-pakar di seluruh dunia kepada pembangunan piawaian melalui badan-badan piawaian.

Sebelum itu, Salleh menghadiri majlis perhimpunan sambutan Ma'al Hijrah peringkat negeri Sabah di Dewan Tun Said, dekat sini hari ini.

Pelancaran sambutan itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin. Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. - BERNAMA

Comments

Popular Posts