SALLEH YAKIN BN SARAWAK MENANG PRN KE-11 TANPA BANYAK MASALAH


KUCHING:  Kerajaan Barisan Nasional Sarawak di bawah kepimpinan ketua menteri Tan Sri Adenan Satem akan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 tanpa menghadapi banyak masalah.


Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak berkata beliau sangat yakin kerana tidak banyak isu besar yang dihadapi oleh BN negeri.

"Sarawak ada ketua menteri Tan Sri Adenan Satem yang sangat popular. Beliau memperkenalkan banyak dasar yang memberi faedah kepada negeri dan rakyatnya.

"Rakyat suka ahli politik seperti ini. Adenan juga mempunyai ramai pemimpin berkelayakan membantu beliau," katanya.

Beliau berkata semasa berucap dalam perhimpunan anjuran Komuniti 1Malaysia dan para pemimpin masyarakat dan penduduk kampung dari Kampung Lajim 5 dan 6 dekat sini Khamis.

Sarawak dijangka mengadakan pilihan raya pada awal tahun depan. Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan berakhir pada Jun 2016.

Mohd Salleh diiringi Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg memilih menggunakan "laluan tidak sibuk" yang mengambil masa 10 minit dengan menaiki ikon pelancongan Sungai Sarawak "perahu tambang" dari tebingan Kuching ke kampung tersebut.

Abang Johari merupakan Anggota DUN Satok yang mana kedua-dua kampung terbabit terletak, serta menteri bertanggungjawab terhadap teknologi maklumat dan multimedia negeri.

Berhubung program sambungan internet di negeri ini dan juga Sabah, Mohd Salleh berkata beliau sudah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meningkatkan kelajuan dan kadar penembusan internet.

"Sambungan internet merupakan satu keperluan dan kita perlu lebih bersungguh-sungguh. Kita tidak boleh tertinggal. Jika tertinggal kita akan kerugian," jelasnya.

Menurut Mohd Salleh, petani kini meningaktkan pendapatan dengan mengiklan produk secara atas talian.

"Sekarang ia tidak sekadar rangkaian sosial seperti aplikasi Whatsapp atau Facebook tetapi menjurus kepada e-perniagaan, malah e-kerajaan," kata beliau.

Beliau sedang dalam lawatan dua hari ke Sarawak. Programnya bermula dengan taklimat mengenai senario politik semasa negeri disusuli mesyuarat dengan para pegawai Jabatan Penerangan seluruh negeri. - BERNAMA

Comments

Popular Posts