Followers

BN MASIH BENTUK KERAJAAN TERBAIK BAGI MALAYSIA : NAJIB


SHAH ALAM:  Barisan Nasional (BN) masih merupakan bentuk kerajaan terbaik bagi Malaysia di sebalik kekurangan dan ujian yang dihadapinya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata apa yang lebih penting, BN telahpun merangka pelan hala tuju yang jelas bagi masa depan negara, dan semua ujian dalam politik semasa boleh diselesaikan jika rakyat memberi sokongan padu kepada kepimpinan.

Sambil menarik perhatian bahawa ini bukan kali pertama negara berdepan ujian dalam politik, beliau berkata sebelum ini pun, negara berupaya pulih disebabkan sokongan rakyat terhadap kepimpinan.

"Sekali-sekala, akan ada bonggol di pertengahan jalan. Begitu juga jika anda menerbangkan pesawat, akan ada poket udara.

"Insya-Allah, kita akan atasinya," katanya pada perasmian Persidangan Perwakilan Kebangsaan ke-44 Parti Gerakan di Setia City Convention Centre di sini.

Beliau berkata meskipun pembangkang akan sentiasa menimbulkan dan membangkitkan kebencian terhadap kerajaan, namun kerajaan BN akan terus melaksanakan apa yang dirancang untuk rakyat.

"Bagaimanapun kami tidak boleh sentiasa mengambil pendekatan populis, sebab kami perlu berkhidmat (kepada rakyat)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib turut mengingatkan rakyat bahawa tiada kebenaran yang mutlak dalam kebanjiran maklumat dalam media sosial.

Beliau berkata terdapat sesetengah pihak yang akan sentiasa memutarbelitkan fakta mengikut agenda mereka, dan menambah, malah beliau sendiri turut menjadi mangsa dalam media sosial.

"Misalnya, mereka banyak kali melakukan 'photoshop' gambar saya. Kadang-kadang kepala lain, badan lain. Mujurlah hasil kerja mereka itu bertompok-tompok, jadi orang boleh nampak gambar itu palsu. Contohnya bila mereka letak gambar saya di sebelah seorang wanita, itu bukanlah saya," katanya.

Justeru, Najib berkata ketika berdepan budaya politik baharu dalam era media sosial, anggota Gerakan perlu mempertingkatkan penggunaan media sosial sebagai wadah untuk meraih sokongan lebih besar daripada rakyat dalam usaha mencergaskan semula parti, di samping menentang pembohongan pembangkang.

"Ini adalah budaya politik baharu. Gerakan perlu lebih aktif dalam media sosial, ke arah usaha menyegarkan semula parti dan meyakinkan rakyat bahawa BN masih merupakan kerajaan terbaik buat mereka," katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa Gerakan masih rakan yang relevan dalam BN meskipun kalah teruk dalam dua pilihan raya umum lepas.

Perdana menteri turut menegaskan bahawa Gerakan, di bawah kepimpinan Mah, menunjukkan semangat dan iltizam politik untuk bangkit semula.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment