Followers

MALAYSIA KEJAR KEDUDUKAN PENDAHULU DALAM PEMBANGUNAN VAKSIN HALAL


KUALA LUMPUR:  Malaysia terus memainkan peranan dan usaha untuk menerajui bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam pemprosesan vaksin halal di rantau Asia Tenggara dan seterusnya ke peringkat dunia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia selama ini telah menyediakan eko-sistem yang menyokong pertumbuhan inisiatif berkaitan agenda halal.

"Sektor halal dalam industri rawatan kesihatan mencetuskan peluang perniagaan selain inovasi dan daya saing. R&D yang meluas perlu diteruskan untuk membanyakkan rangkaian produk farmaseutikal halal di pasaran," ujar beliau.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Inisiatif Halal dalam Industri Rawatan Kesihatan di ibu negara pada Selasa.

"Saya juga meletakkan cabaran kepada kementerian terbabit agar berusaha merebut semula kedudukan sebagai pendahulu industri pembangunan produk kesihatan halal yang kini telah disaingi hebat negara lain," ujar beliau.

Dalam majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan kerjasama syarikat Al-Jomaih Group dari Arab Saudi yang telah memilih Malaysia untuk pelaburan bernilai RM286 juta bagi membangunkan dua projek di Enstek Halal Park, Negeri Sembilan.

Kedua-dua projek itu, AJ Biologics Sdn Bhd dan AJ Research and Pharma Sdn Bhd, akan memberi tumpuan dalam pengeluaran produk farmaseutikal, nutraseutikal dan rawatan kesihatan berkualiti tinggi.

Beliau turut menyaksikan upacara perjanjian kerjasama strategik antara Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dan AJ Pharma Holdings bagi membangunkan platform R&D dalam pemprosesan vaksin halal.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Menteri Perdagangan Antara bangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan, Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi HDC Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim.- ASTRO AWANI

No comments:

Post a Comment