NAJIB GESA MAICCI SERTA SEKRETARIAT PELAN TINDAKAN MASYARAKAT INDIA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) menyertai program Sekretariat Pelan Tindakan Masyarakat India yang dikendalikan oleh Pejabat Perdana Menteri.
Beliau berkata sekretariat itu telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan pelan tindakan pembangunan untuk masyarakat India di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas, dengan matlamat untuk meningkatkan taraf hidup.
"Kerajaan saya sentiasa memberi keutamaan kepada masyarakat India Malaysia, dan kami menyediakan banyak program untuk menangani keperluannya.
"Kerajaan terus melabur dalam masyarakat India, sebahagian besarnya diselaraskan oleh unit strategik yang ditubuhkan di bawah pejabat saya Sekretariat Untuk Memperkasakan Usahawan India, atau SEED," katanya dalam ucapan pada majlis makan malam ulang tahun ke-65 MAICCI di sini malam tadi.
Setakat ini, Sekretariat SEED, yang bertanggungjawab untuk bidang ekonomi, memudahcarakan pinjaman lebih RM711 juta melalui skim seperti TEKUN dan Amanah Ikhtiar.
Sekretariat tersebut turut membiayai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah pelbagai agensi kerajaan seperti SME Bank dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd, yang memberi manfaat kepada lebih 24,000 usahawan kaum India Malaysia, katanya.
Selain SEED, Najib berkata kerajaan turut menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan bagi Masyarakat India, Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah Tamil dan Unit Khas Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India.
"Jika ada masyarakat India yang tidak mendapat pekerjaan, dibezakan dari segi peluang perniagaan, atau dipinggirkan untuk mendapat pendidikan - ia bukan hanya masalah untuk masyarakat India yang perlu ditangani oleh hanya pertubuhan yang melindungi hak kaum India.
"Ia adalah masalah Malaysia, dan perlu diselesaikan dalam konteks itu. Bagi jangka masa panjang, apa yang kita perlukan adalah mekanisme yang berfungsi untuk semua kaum," katanya.
Bagi memenuhi keperluan perniagaan masyarakat India di negara ini, Najib berkata kerajaan mewujudkan serampang dua mata, termasuk langkah untuk membantu perusahaan mikro, membawa masyarakat itu kepada ekonomi arus perdana dan menyumbang kepada pertumbuhan.
Beliau menambah kerajaan juga mempunyai pendekataan bersasar untuk membantu syarikat yang berinovasi dan mempunyai pertumbuhan tinggi bagi memanfaatkan potensi penuh mereka dan berintegrasi dalam pasaran global.
"Kita akan sentiasa menjaga adat dan nilai masyarakat India seperti kita menjaga seluruh rakyat Malaysia. Kepelbagaian kita adalah kekuatan kita, dan masyarakat India di negara ini sentiasa dan akan terus melengkapi satu bahagian penting dalam kepelbagaian tersebut," katanya. - BERNAMA
Comments
Post a Comment