Followers

KERAJAAN TERUS PRIHATIN KEPERLUAN MASYARAKAT INDIA : AHMAD ZAHID


KUALA LUMPUR:  Kerajaan akan terus prihatin terhadap keperluan masyarakat India khususnya dalam bidang pendidikan dan perniagaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Beliau berkata di sebalik cabaran ekonomi yang dihadapi negara, kerajaan tetap memberi perhatian terhadap kaum itu yang merupakan komponen penting dalam kemajmukan masyarakat Malaysia.

Ahmad Zahid menegaskan golongan minoriti di negara ini sentiasa mendapat perhatian kerajaan, apatah lagi masyarakat India yang telah bersama menyaksikan negara mencapai kemerdekaan dahulu.
"Tentunya keprihatinan perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebagai pemimpin utama negara kita terutama apabila beliau membentangkan ucapan belanjawan semalam memperlihatkan bahawa keprihatinan beliau kepada masyarakat India tiada batasnya," katanya.

Ahmad Zahid berucap pada sambutan Hari Deepavali anjuran Persatuan Peniaga-Peniaga Lebuh Ampang Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.

Turut hadir Menteri Kesihatan merangkap Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Dalam pembentangan Bajet 2016 di Dewan Rakyat semalam, perdana menteri mengumumkan beberapa insentif untuk masyarakat India antaranya peruntukan dana RM100 juta melalui Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India dan peruntukan RM50 juta oleh SME Bank untuk membantu usahawan kecil masyarakat berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Najib memerlukan dokongan dan sokongan semua rakyat termasuk masyarakat India di sebalik usaha sesetengah pihak untuk mengeruhkan keadaan dalam negara.

"Sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk, kita harus ketepikan perbezaan sama ada kita orang India, kita orang Cina atau sebagainya.

Kita semua merupakan masyarakat Malaysia," katanya.

Beliau berkata semua pihak harus bekerjasama dan mengetepikan perbezaan ideologi politik demi menjamin perpaduan masyarakat di negara ini. BERNAMA

Sumber gambar - ASTRO AWANI

No comments:

Post a Comment