Followers

'TPPA BERI PELUANG MALAYSIA BEBAS CUKAI DALAM PRODUK TERTENTU': MUSTAPA

'
MUSTAPA: Malaysia boleh menarik diri daripada TPPA pada bila-bila masa, walaupun selepas pelaksanaannya, jika berasa 'kurang selesa'.

KUALA LUMPUR:  Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) memberi peluang negara bebas cukai dalam produk tertentu dengan Amerika Syarikat (AS), Peru, Kanada dan Mexico.


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia bakal direalisasikan dengan perjanjian perdagangan selain negara lain yang sudah mempunyai perjanjian sama dengan Malaysia.

"Antara faedah TPPA adalah di negara yang mana Malaysia belum ada perjanjian. Pasaran akan dibuka dan negara akan bebas cukai daripada negara tertentu seawalnya pada 2018. Duti pada tahun pertama akan dimansuhkan.

"Ia termasuk sektor elektronik dan bahan kayu yang akan menerima pengurangan cukai daripada dua sehingga 14 peratus kepada sifar," katanya semasa menjawab soalan tambahan Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Mustapa menjelaskan TPPA tidak akan memberi impak negatif yang besar kerana Malaysia ketika ini, ia sudah pun mempunyai 13 perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Jelas Mustapa, negara boleh menarik diri daripada TPPA pada bila-bila masa, walaupun selepas pelaksanaannya, jika berasa 'kurang selesa'.

Katanya, Malaysia juga tidak akan dikenakan denda atau penalti jika menarik diri daripada perjanjian itu kerana TPPA adalah perjanjian sukarela.

Dalam pada itu, Mustapa mengakui TPPA mempunyai kesan baik dan buruk kepada negara.

"Namun kita mempertimbangkan manfaat yang lebih dan memberi keuntungan kepada negara pada akhirnya.

"Ada beberapa perkara yang belum selesai dan kita akan hebahkan kepada rakyat apabila ia boleh diberitahu kelak," ujarnya.

Mustapa berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) mengenai kesan TPPA kepada negara.

Sebelum ini, Mustapa memberitahu, TPPA perlu dibentangkan di Dewan Rakyat pada pertengahan Januari depan.

Jelasnya, negara tidak boleh lewat daripada dua minggu pertama tahun 2016 untuk membuat keputusan sama ada menandatangani perjanjian tersebut atau tidak. - ASTRO AWANI

No comments:

Post a Comment