MH370: DCA AKAN TERUS SALUR MAKLUMAT WALAU WUJUD SPEKULASI


KUALA LUMPUR:  Walaupun spekulasi masih menyelubungi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) berjanji ia akan terus menyalur maklumat kepada semua pihak berkaitan.


"Kami akan terus memaklumkan sebarang perkembangan terbaharu MH370 kepada saudara mara dan orang ramai.

"Kami juga ingin menyeru setiap orang agar jangan membuat spekulasi tidak berasas yang boleh membawa tekanan kepada keluarga dan orang kesayangan yang menunggu dengan cemas mengenai perkara ini," menurut DCA dalam satu kenyataan hari ini.

Sabtu lalu, seorang lelaki yang dikenali sebagai Jamil Omar membuat laporan polis di Sandakan dengan mendakwa ibu saudaranya menemui bangkai pesawat di dalam hutan di Pulau Sugbay, Tawi-Tawi di Filipina awal bulan ini.

Wanita berkenaan turut mendakwa menemui rangka manusia dan bendera Malaysia yang berukuran 178 sentimeter panjang dan 89 sentimeter lebar bersama bangkai tersebut.

DCA berkata pihaknya telah bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa lain di Filipina yang kedua-dua pihak menafikan bahawa tiada bangkai pesawat yang ditemui di pulau berkenaan.

"Kami sangat menghargai sokongan yang diberikan pihak berkuasa di Filipina. Penghargaan kami juga kepada semua negara yang membantu dalam masa yang diperlukan ini," katanya.

MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac tahun lalu ketika dalam penerbangan daripada Kuala Lumpur menuju Beijing dengan membawa 227 penumpang dan anak kapal.

Pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemui sehingga kini walaupun pencarian menyeluruh dilakukan di selatan Lautan Hindi, di kawasan yang dipercayai pesawat 'berakhir'.- BERNAMA

Comments

Popular Posts