Followers

RUNDINGAN TPPA PERTIMBANG KEBIMBANGAN, SENSITIVITI MALAYSIA : MUSTAPA


KUALA LUMPUR:  Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dirumuskan baru-baru ini bersetuju untuk mempertimbang hampir kesemua kebimbangan dan sensitiviti yang dibangkitkan Malaysia seperti isu pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan bumiputera.


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata butiran fleksibel diberikan kepada Malaysia termasuk tempoh peralihan lebih panjang dan layanan berbeza bagi perkara yang sensitif kepada negara.

"Saya ingin mengulangi sama ada Malaysia menjadi pihak atau sebaliknya kepada TPPA akan menjadi keputusan secara kolektif.

"Sebaik sahaja teks rasmi perjanjian siap dan disediakan, ia akan dibawa kepada pengetahuan umum dan dibentangkan di Parlimen untuk dibahas.

"Kita juga akan mengadakan perundingan penuh dengan pihak-pihak berkepentingan dan orang awam," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Mustapa mewakili Malaysia pada rundingan TPPA dengan 11 pihak lain iaitu Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia tidak akan memihak kepada perjanjian yang tidak mengikut Perlembagaan negara atau yang menjejaskan dasar-dasar teras yang dimulakan oleh kerajaan untuk manfaat rakyat.

Sepanjang rundingan, mulai 30 September hingga 1 Oktober, Mustapa sentiasa berkomunikasi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memaklumkan perkembangan terkini mengenai kemajuan rundingan, serta, mendapatkan panduan dan mandat bagi melindungi kepentingan Malaysia.

Mengenai isu hak harta intelek, beliau berkata Malaysia tetap tegas bahawa TPPA tidak seharusnya menghalang akses orang ramai kepada ubat-ubatan dan penjagaan kesihatan yang mampu milik, dan pada masa yang sama, memastikan insentif yang perlu untuk pencipta farmaseutikal menghasilkan ubat-ubatan baharu.

Berhubung akses pasaran, elemen asas dalam mana-mana perjanjian perdagangan bebas (FTA), Malaysia merumuskan rundingan dengan semua pihak, dengan duti import bagi hampir semua produk akan dihapuskan.

"Pada dasarnya, hasilnya akan menyediakan peluang akses pasaran yang lebih besar bagi syarikat-syarikat Malaysia, terutamanya di pasaran seperti Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru yang mana Malaysia tidak mempunyai FTA.

"Pengeksport Malaysia akan mendapat kelebihan daya saing berbanding pesaing serantau dalam mengeksport produk dari sektor elektrik dan elektronik, bahan kimia, barangan minyak sawit, keluaran getah, barangan kayu, tekstil, dan juga bahagian dan komponen automotif.

"Semua ini merupakan eksport utama bagi Malaysia dan menjana sejumlah besar pendapatan bagi ekonomi negara dan mengambil ribuan rakyat Malaysia sebagai pekerja," katanya.

Mustapa amat yakin bahawa TPPA akan membolehkan Malaysia mempromosikan lagi agenda perdagangan dan pelaburan serta membantu mengurangkan cabaran ekonomi global. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment