Followers

KENYATAAN DR LING TERHADAP NAJIB BERSIFAT PERUBADI : MCA


IPOH:  Kenyataan bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik menyokong gesaan supaya Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri merupakan pandangan peribadi beliau dan bukan pendirian parti.


Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata sebagai negara demokrasi, Dr Ling mempunyai hak untuk menyatakan pandangannya walaupun jelas parti kaum Cina itu menyokong penuh kepimpinan Najib.

Menurutnya walaupun MCA menghormati Dr Ling sebagai bekas pemimpin parti namun kenyataan beliau bukan mewakili parti itu.

"Mungkin pandangan beliau itu sedikit sebanyak akan mempengaruhi anggota parti dan kita perlu menangani perkara tersebut kerana ini bukan hanya mengenai MCA tetapi perpaduan Malaysia secara keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Senaman Tai Chi kali ke-23 di Sekolah Menengah Shen Jai, di sini hari ini.

Ong, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, diminta mengulas kenyataan Dr Ling yang mengaku menyokong saranan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Najib meletak jawatan.

Dalam pada itu, Ong mengingatkan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dan mereka yang mempunyai jawatan dalam kerajaan agar tidak mengeluarkan kenyataan kontroversi atau berbaur provokasi yang boleh menimbulkan kemarahan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Beliau berkata perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin BN tidak seharusnya dilakukan secara terbuka dan sesuatu isu yang berbangkit perlu diadakan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian.

"Apabila kita tersilap mengeluarkan kenyataan, adalah lebih baik memohon maaf dan mengaku apa yang telah dilakukan. Jika kita mahu BN kekal sebagai parti pemerintah, ini tidak harus berlaku," katanya.

Katanya keadaan sedemikian, jika berlarutan, akan menjejas keyakinan dan sokongan rakyat terhadap BN. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment