PM MINTA KEPAKARAN KETUA SAINS APEC BAGI PENYELESAIAN JEREBU


KUALA LUMPUR:  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) kali ke-3 yang berlangsung di Kuala Lumpur untuk membincangkan penyelesaian isu jerebu yang melanda Malaysia dan Singapura.


Najib berkata negara ini berdepan masalah jerebu setiap tahun sejak 18 tahun lalu.

Ketika membuat saranan berkenaan, Najib berkata Ketua Sains perlu membincangkan soal penyelesaian sains bagi pembakaran di tanah gambur serta isu pembersihan tanah pertanian.

Tambahnya, cadangan tersebut akan dibawa kepada pertemuan pemimpin tertinggi APEC dan Asean yang seterusnya untuk dilaksanakan negara terlibat.

"Saya minta anda cari teknik membersihkan tanah pertanian... kedua, bagaimana kita ingin menghalang kebakaran tanah gambut sama ada ia dilakukan dengan sengaja atau disebabkan perubahan iklim.

"Saya amat berminat untuk mengetahui hasil perbincangan dan saya akan bawa isu ini pada sidang kemuncak Asean dan APEC," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada mesyuarat berkenaan.

Sementara itu, penasihat sains kepada Perdana Menteri Profesor Tan Sri Zakri Abdul Hamid berkata, mesyuarat tersebut akan membincangkan permintaan Perdana Menteri itu pada Jumaat.

Tambahnya Ketua Penasihat Sains dunia akan turut berkongsi penggunaan kepakaran negara selain APEC bagi mencari penyelesaian tersebut.

"Kepakaran itu ada dan mungkin ada amalan pertanian yang boleh diamalkan oleh negara seperti Malaysia dan Indonesia yang mempunyai masalah jika pertanian dijalankan di atas tanah gambut," katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Tambah beliau, masalah jerebu merupakan masalah yang kompleks dalam melibatkan banyak isu yang memerlukan kerjasama dari pelbagai peringkat. - ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts