AHLI UMNO PERLU FOKUS AKTIVITI KUKUHKAN PARTI, ELAK LONTAR KENYATAAN PERIBADI : KHAIRY


KUALA LUMPUR:  Pergerakan Pemuda UMNO hari ini sebulat suara mahu semua anggotanya menjadikan program yang dapat mengukuhkan parti sebagai keutamaan, selain tidak membuat kenyataan mengikut pandangan peribadi.


Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata walaupun setiap anggota mempunyai hak menyatakan pandangan tetapi perlu diingat bahawa pada waktu dan ketika ini fokus mereka adalah terhadap agenda yang menyumbang kepada keutuhan parti.

"Kami harus komited pada perkara dan hal yang dapat menguatkan dan merapatkan setiap ruang antara ahli dan terus bekerja untuk masa hadapan parti di samping memastikan segala masalah berbangkit dalam parti dapat diselesaikan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO di Ibu Pejabat UMNO di sini.

Beliau berkata sudah menjadi ketetapan Pemuda UMNO seperti pada mesyuarat exco yang lepas walaupun Pemuda membangkitkan beberapa perkara yang perlu ditangani pucuk pimpinan, tetapi pergerakan itu terus komited mendukung parti dan mengelak perbuatan yang hanya menimbulkan ketegangan.

Sementara itu, Khairy berkata Pemuda UMNO akan memfokuskan kepada pemerkasaan latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) di bawah nama Pemuda Mahir yang ia juga merupakan aspirasi yang mampu mengangkat golongan muda kerana bukan sahaja mereka berpendidikan malah mempunyai ilmu kemahiran.

Program Pemuda Mahir itu juga akan dilancarkan pada awal tahun depan sebagai menyokong usaha kerajaan dalam mengarusperdanakan aliran pendidikan berteraskan kemahiran.

Program lain yang turut dikelolakan Pemuda ialah Simposium Pengurusan Ringgit bagi pendedahan tentang pengurusan kewangan terutamanya pengurusan kewangan peribadi dan Simposium Agropreneur Muda 2015 yang menawarkan skim Agropreneur dengan geran sebanyak RM30,000 kepada Usahawan Tani yang layak.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata aspirasi orang muda yang berada di luar parti akan menjadi mukadimah perbahasan Pemuda UMNO sewaktu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Disember ini.

"Ia bagi memastikan hujah yang dibawa pada PAU adalah relevan dengan idea dan kehendak seluruh anak muda tidak mengira parti, justeru kami akan panggil pemimpin yang bukan sahaja berada dalam UMNO termasuk mahasiswa untuk memberi pandangan mereka pada Konvensyen Untuk Orang Muda yang akan diadakan 28 Nov ini," katanya.

Berkenaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Khairy berkata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) adalah paling sesuai menyelesaikan isu itu memandangkan ia turut diwakili pihak pembangkang.

"Apa sahaja ketetapan atau keputusan yang dibuat oleh PAC, pembangkang tidak boleh kata ia berat sebelah," katanya. -BERNAMA

Comments

Popular Posts