PARLIMEN : LIM KIT SIANG DIGANTUNG SELAMA 6 BULAN


KUALA LUMPUR:  Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang digantung selama 6 bulan dari menghadiri sidang parlimen berkuatkuasa hari ini.


Perkara berkenaan diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, selepas sesi pengundian yang menyaksikan 107 Ahli Parlimen bersetuju, sementara 77 lagi tidak bersetuju.

Kit Siang sendiri memilih untuk berkecuali dalam usul ini yang diluluskan sekitar jam 1 tengahari itu.

Ketika di luar Dewan Rakyat, Kit Siang mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan yang telah menyokongnya dalam perbahasan.

"Saya berasa sedih kerana perhatian diberikan lebih kepada isu ini berbanding isu-isu lain yang lebih besar seperti 1MDB," kata beliau.

Usul menggantung Kit Siang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said pada akhir sidang semalam.

Ia susulan kegagalan Kit Siang memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuatnya terhadap Pandikar pada 19 Oktober selepas perbahasan usul mengenai jerebu.

Kit Siang mendakwa Pandikar menyalahgunakan kuasanya dan mensabotaj siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB)- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts