'NAJIB DAPAT KEBENARAN LUPUS PERMOHONAN SAMAN PKR': HAFARIZAM


KUALA LUMPUR:  Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberi kebenaran untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melupuskan permohonan membuang writ saman PKR atas dakwaan melakukan kesalahan pilihan raya susulan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.


Peguam, Datuk Hafarizam Harun berkata, ia diberi dengan alasan adanya fakta istimewa yang boleh memprejudiskan Najib jika tidak ada sebarang perintah penangguhan dibenarkan.

"Prosiding ini diperolehi selepas adanya fakta istimewa atau keadaan istimewa yang boleh memprejudiskan anak guam saya sekiranya tidak ada perintah penangguhan diberikan.

"Maksudnya sekiranya anak guam saya perlu afidavit menjawab penzahiran dokumen iaitu Najib jika hendak menunjukkan penyata akaunnya, jadi apa sahaja pembelaan Najib dan Datuk Seri Tunku Adnan Tunku Mansor yang mahu membawa ke mahkamah akan diketahui lebih awal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ogos lepas, PKR telah memfailkan saman terhadap Najib atas dakwaan melakukan kesalahan pilihan raya susulan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata saman itu difailkan di Mahkamah Jalan Duta melalui peguam Tommy Thomas.

Ia juga difailkan terhadap Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, syarikat pelaburan negara 1MDB dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hafarizam sebelum ini menyatakan, arahan kepada Najib untuk memfailkan pembelaan dalam saman ke atasnya dan tiga yang lain berhubung dakwaan perbelanjaan berlebihan dalam kempen pilihan raya umum ke-13 (PRU13), tidak bermakna sudah terdapat bukti perlakuan jenayah oleh Perdana Menteri.

Tegasnya, konotasi kes tersebut berbeza sama sekali dengan perbicaraan kes jenayah.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts