TPPA: KERAJAAN AKAN PERTAHANKAN KEDAULATAN NEGARA - NAJIB


SHAH ALAM:  Kerajaan akan terus mempertahan dan memperjuangkan kedaulatan dan perdagangan domestik negara biarpun Malaysia berpegang kepada prinsip kerterbukaan dalam perdagangan global menerusi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.


"Kerajaan berjuang habis-habisan dalam rundingan ini.

"Kerajaan tidak akan menjual kepentingan perdagangan domestik dan kepentingan negara," tegas Najib dalam ucapan rasminya pada Persidangan Perwakilan Nasional ke-44 Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Pusat Konvensyen Setia City.

Bagaimanapun jelas Najib, Malaysia perlu menyertai TPPA bagi mengembangkan pasarannya di peringkat global.

"Ketika saya berada di Amerika, golongan korporat di sana percaya dengan Malaysia walaupun banyak suara 'bising' yang memburukkan negara ini.

"Namun, walaupun dengan suara 'bising' itu, negara kita berada di peringkat yang baik, dan kerana itu juga kita sertai rundingan TPPA.

"Kerana kita adalah negara perdagangan yang besar," katanya lagi.

Beliau juga berkata ramai terlupa jika Malaysia tidak terlibat sebagai antara yang pertama dalam perjanjian TPPA ini, ia akan mengenakan kos yang tinggi jika negara mahu menyertainya pada masa yang akan datang.

"Jika kita lebih terbuka kepada dunia luar, pasaran luar, kita akan menjadi negara yang lebih berjaya berbanding kalau kita hanya menutup sempadan. Ini adalah falsafah yang kita percaya.," tambah Najib.

Malaysia adalah antara 11 negara lain yang sebelum ini telah bersetuju dengan rundingan perjanjian TPP yang akan menghapuskan sekatan dan memudahcarakan prosedur perdagangan di kalangan semua negara anggota.

Perkara itu dipersetujui semua Menteri-Menteri Perdagangan negara Pasifik yang menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri TPPA di Atlanta, Amerika Syarikat, pada awal bulan ini.

Selain Malaysia, negara anggota yang telibat dalam rundingan perjanjian TPP adalah Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts