INDONESIA SEDIA TERIMA CADANGAN MALAYSIA BINA TELAGA TIUB CEGAH KEBAKARAN HUTAN
JAKARTA: Kerajaan Indonesia sedia mengkaji cadangan Malaysia supaya membina telaga tiub sebagai kaedah mencegah kebakaran tanah gambut di kawasan perladangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, Presiden Indonesia Joko Widodo menerima pandangan tersebut, dan akan menghantar pihak berkuasa mereka untuk melihat keberkesanan telaga tiub yang dimaksudkan itu terutamanya seperti terdapat di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata Indonesia pada mulanya mencadangkan pembinaan terusan yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun akan datang sebagai langkah jangka panjang mengatasi masalah kebakaran hutan dan ladang.
"Bagi kita, tempoh tiga tahun terlalu lama kerana ia bermaksud negara terpaksa menghadapi jerebu selama tiga tahun lagi, dan kita mencadangkan pembinaan telaga tiub kerana ia berkesan di Malaysia," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan Presiden Jokowi di Istana Presiden di Bogor, petang Ahad.
Perdana Menteri, yang tiba di sini Ahad untuk lawatan kerja dua hari, berkata telaga tiub didapati berkesan mencegah kebakaran tanah gambut kerana air disalurkan ke bawah tanah secara sistematik.
Najib berkata sebelum itu, beliau membangkitkan masalah jerebu itu kepada Jokowi dan menyatakan ia mengancam kepentingan rakyat Malaysia dan mengganggu aktiviti ekonomi, sosial dan pendidikan termasuk kegiatan riadah dan sukan yang tidak dapat dijalankan.
Katanya Jokowi juga menunjukkan reaksi berdepan tekanan dengan masalah kebakaran hutan di negaranya, dan memahami masalah dihadapi akibat jerebu.
Beliau berkata dalam perbincangan dua hala itu, Malaysia menyatakan kesediaan memantapkan lagi kerjasama bagi mengatasi kebakaran hutan yang berlaku sekarang dengan menghantar pesawat pengangkut air dan bersedia menambah bantuan jika diperlukan.
Mengenai dakwaan terdapat dua syarikat perladangan Malaysia terbabit dengan kes kebakaran ladang, Najib berkata tindakan undang-undang adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Indonesia.
Perdana Menteri, bagaimanapun berkata beliau dimaklumkan hanya tiga peratus kes kebakaran hutan dan ladang dilakukan oleh syarikat perladangan itu, sedangkan kebanyakan kes kebakaran oleh rakyat negara itu yang mengambil jalan mudah untuk meneroka tanah.
Beliau berkata rakyat di kawasan pedalaman kebanyakannya miskin dan mereka tidak mampu meneroka tanah yang luas kerana kos yang tinggi, dan disebabkan itu mereka membakar hutan untuk meneroka kawasan baharu.
Kebakaran hutan mengakibatkan jerebu yang serius di Malaysia dan negara jiran lain dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tahap sangat tidak sihat, dan kerajaan terpaksa menutup sekolah di beberapa negeri sebagai langkah menjaga kesihatan pelajar. - BERNAMA
Comments
Post a Comment