'MUHYIDDIN, USAHLAH BERNOSTALGIA': ZAHID HAMIDI


KUALA LUMPUR:  Tan Sri Muhyiddin Yassin dinasihat untuk menerima hakikat bahawa pemimpin yang dipilih menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri adalah Datuk Seri Najib Razak.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, adalah lebih baik untuk Muhyiddin memberi sokongan kepada kepimpinan semasa, bukannya membuat tindakan yang tidak seiring dengannya.

"Saya fikir realiti yang harus dihadapi adalah kita tak perlu bernostalgia terhadap sesuatu yang pernah berlaku tetapi tidak menjadi realiti.

"Kita harus memberikan sokongan terhadap kepimpinan yang ada sekarang ini kerana itulah yang dipilih rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Hari Pengguna Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka pada Ahad.

Ia sebagai mengulas kenyataan Muhyiddin dalam sesi dialog Bicara Minda yang bertajuk 'Berani Kerana Benar' yang berlangsung di Johor Bahru pada Sabtu.

Dalam dialog tersebut, Muhyiddin memaklumkan yang beliau diminta Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mencabar kerusi Perdana Menteri selepas Barisan Nasional (BN) pimpinan Abdullah ketika itu kalah besar dalam PRU pada 2008.

Namun disebabkan pada masa itu Muhyiddin hanya Naib Presiden BN manakala Najib pula Timbalan Presiden, laluan diberikan kepada Najib untuk menggantikan Abdullah.

"Ketika itu pun Dr Mahathir bukanlah Perdana Menteri dan dia tiada kuasa untuk memilih siapa-siapa untuk menjadi Perdana Menteri.

"Kalau mana-mana individu yang tidak merasakan seseorang itu harus berada di tampuk kepimpinan, individu tersebut boleh menawarkan diri untuk bersama organisasi lain dan membuktikan kepada rakyat bahawa individu itu lebih baik daripada tokoh kepimpinan yang ada.

"Jadi eloklah kita tunggu hingga PRU akan datang untuk kita sama-sama ada dalam gelanggang.
"Kita tengok mana satu pilihan rakyat waktu itu," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Zahid menegaskan peruntukan besar yang dikhaskan kepada Sabah dan Sarawak dalam Bajet 2016 bukan bertujuan untuk memancing undi daripada rakyat negeri itu.

"Ia bukan semata-mata demi PRU. Ini Ini adalah keprihatinan kerajaan Malaysia dalam memberi imbuhan dan perkhidmatan yang baik kepada setiap rakyat mereka.

"Saya rasa Sarawak layak untuk menerima peruntukan istimewa itu," katanya.

Lebih RM29 bilion diperuntukkan dalam Bajet 2016 untuk pembangunan kesejahteraan rakyat negeri Sabah dan Sarawak yang antaranya merangkumi RM16.1 bilion untuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sarawak dan RM12.8 bilion untuk LPB di Sabah.

Lebuh raya tersebut juga tidak akan mengenakan bayaran tol kepada penggunanya apabila siap kelak. -ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts