MALAYSIA DAN AMERIKA SYARIKAT TANDATANGANI DOKUMEN PENGECUALIAN VISA


WASHINGTON:  Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) hari ini menandatangani  dokumen Keselamatan Tanah Air Arahan Presiden No 6 (HSPD 6).


Dokumen itu ditandatangani oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Negara AS, John Kerry di sini.

Menurut Zahid, beliau turut mengadakan perbincangan dengan Kerry mengenai hubungan dua hala Malaysia dan AS termasuk kerjasama keselamatan.

"HSPD 6 adalah satu daripada dokumen yang perlu ditandatangani bagi menyertai program pengecualian visa AS, selain dokumen perjanjian Mencegah dan Memerangi Jenayah Serius (Preventing and Combating Serious Crime) atau PCSC.

"Dokumen ini juga mengandungi beberapa pecahan mengenai usaha melakukan pencegahan dan pembanterasan jenayah berat yang akan membolehkan negara kita dan AS bertukar maklumat mengenai pengganas yang disyaki ataupun dikenali di kedua-dua negara.

"Kita akan berkongsi maklumat berdasarkan pangkalan data yang membabitkan lebih 86,000 senarai individu yang disyaki atau dikenali sebagai pengganas di AS serta beberapa negara lain. Pangkalan data ini diuruskan oleh Pusat Saringan Pengganas di Washington," katanya dipetik oleh Berita Harian, pada sidang media di sini.

Turut hadir, Duta Malaysia ke AS, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, jika sebelum ini Malaysia hanya gunakan maklumat daripada Interpol, kini maklumat itu boleh diperoleh terus daripada Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), selain maklumat Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

Malaysia pula akan berkongsi maklumat mengenai senarai individu yang disabitkan dengan jenayah keganasan oleh mahkamah tempatan termasuk senarai individu yang sudah dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Timbalan Perdana Menteri berkata, risikan terkini yang dilakukan mendapati 87 peratus golongan muda Islam terpengaruh untuk menyertai militan IS melalui media sosial dan perkara itu dipandang serius oleh AS.

Zahid menjelaskan, pada ketika Jemaah Islamiyah berkuasa dahulu, pengaruh disebar menerusi pucuk pimpinannya tetapi kini, pengkaderan dilakukan menerusi media sosial.

Sementara itu, Awang Adek berkata perbincangan antara Zahid dan Kerry berjalan dalam suasana mesra di mana AS menerima baik inisiatif Malaysia dalam pelbagai aspek termasuk isu berkaitan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), tuntutan bertindih di Laut Cina Selatan dan cara Malaysia menguruskan masalah pelarian asing.

Tambah beliau, Kerry nampaknya lebih yakin dan mahukan hubungan baik AS dengan Malaysia berterusan bagi menangani keganasan IS selaku negara Islam yang pentingkan kesederhanaan. -ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts