PERUNTUKAN UNTUK SUKAN TIDAK AKAN DIBAZIR : KHAIRY
JOHOR BAHARU: Peruntukan RM145 juta untuk persiapan atlet negara menghadapi Sukan SEA ke-29 dan Para Asean ke-9 di Kuala Lumpur pada 2017 tidak akan dibazirkan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata ia mencukupi dan akan digunakan sebaik mungkin bagi memastikan Malaysia menjuarai kedua-dua kejohanan tersebut.
"Dengan peruntukan RM145 juta kepada Sukan SEA dan Para Asean dan juga RM75 juta bagi Program Prodium, kita akan lakukan apa yang terbaik.
"Kita tidak boleh nak memberi alasan tiada peruntukan, tidak dapat menang," katanya kepada pemberita selepas menutup program Johor Mahir anjuran Pemuda Umno Johor di Kilang Bateri di sini pada Sabtu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2016 semalam mengumumkan peruntukan RM222 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan dengan RM145 juta akan diguna bagi mempersiapkan atlet negara menghadapi Sukan SEA dan Para Asean pada 2017.
Selain itu RM75 juta turut diperuntuk bagi melahirkan jaguh sukan bertaraf dunia melalui Program Podium dan RM22 juta lagi untuk pembinaan dua kompleks sukan iaitu di Bagan Datoh (Perak) dan Kuantan (Pahang).
Sukan SEA dan Para Asean 2017 bakal dihos Malaysia dari 19 hingga 31 Ogos.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata kementeriannya melalui Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) telah memeteraikan perjanjian persefahaman dengan agensi kerajaan negeri iaitu Skills Johor hari ini bagi menubuhkan sebuah pusat kemahiran vokasional dan teknikal pada 2017.
Ia dijangka dapat melatih kira-kira 20,000 belia dalam bidang logistik, kesihatan, pelancongan, minyak dan gas dan pelbagai lagi sektor yang berhubung kait dengan Johor, katanya.
Beliau berkata penubuhan puat itu bersesuaian dengan keperluan mendesak bagi melahirkan sejumlah 225,00 pelajar berkemahiran vokasional dan teknikal menjelang 2020. - BERNAMA
Comments
Post a Comment