PEGUAM AKAN BINCANG DENGAN NAJIB BERHUBUNG TINDAKAN SELANJUTNYA KE ATAS WSJ


KUALA LUMPUR:  Firma guaman, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak mengesahkan telah menerima jawapan balas daripada peguam akhbar Wall Street Journal (WSJ), berhubung artikel yang disiarkan pada 3 Julai lalu yang mendakwa wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah disalurkan ke akaun peribadi milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


Datuk Mohd Hafarizam Harun, berkata pihaknya akan berbincang tindakan selanjutnya dengan anak guamnya, Najib dalam masa terdekat berhubung jawapan balas WSJ.

Menurutnya, jawapan balas WSJ melalui Tetuan Rodyk & Davidson LLP itu tidak menjawab sepenuhnya pertanyaan Najib.

"Jawapan balas WSJ, pada dasarnya tidak menjawab dengan jelas sama ada WSJ akan atau tidak akan memohon menggunakan Akta Ucapan Amerika (US Speech Act).

"Bagaimanapun, peguam WSJ ada menegaskan, anak guamnya (WSJ) tidak akan mengenepikan apa juga pembelaannya." katanya dalam dalam kenyataan kepada Astro Awani, pada Isnin.

Hafarizam bagaimanapun, tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenai tindakan Najib seterusnya, atas alasan kerahsiaan antara peguam dan anak guam.

Najib, sebelum ini telah menghantar surat guaman kepada WSJ, bertanya sama ada ia akan memohon menggunakan Akta Ucapan Amerika jika beliau menyaman akhbar itu berkaitan laporan berkenaan.

Menurut Hafarizam, peguam WSJ telah memberi maklum balas kepada surat guaman yang dihantar sebelum ini, dalam tempoh 15 hari yang ditetapkan yang tamat pada September 30.

Dalam satu artikel bertarikh Julai 2, WSJ dipetik sebagai berkata maklumat yang diperolehi penyiasat Malaysia yang memeriksa kewangan 1MDB mendakwa terdapat dana berjumlah US$700 juta (RM2.6 bilion) dimasukkan ke akaun yang didakwa milik peribadi Perdana Menteri. - ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts