KERAJAAN TIDAK BERTINDAK SESUKA HATI, JAWAB SALLEH TERHADAP KENYATAAN TUN MAHATHIR


PUTRAJAYA:  Kerajaan tidak bertindak sesuka hati untuk menahan atau mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu tanpa asas yang kukuh, tegas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.


Justeru, beliau berkata sebarang penahanan dibuat mengikut peraturan sedia ada dan dakwaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah tidak berasas sama sekali memandangkan sebarang penahanan yang dibuat itu bukan bermotifkan politik semata-mata.

"Tuduhan itu tidak berasas sama sekali. Apa pun yang kita lakukan adalah mengikut peraturan sedia ada.

"Apabila seseorang itu ditahan mengikut undang-undang Sosma sudah tentulah ada asasnya dan kita tidak sesuka hati mengambil tindakan apabila kita ada asas-asas kukuh," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Zumba dan Karnival Sukan Rakyat peringkat kementerian sempena Sambutan Hari Sukan Negara di sini hari ini.

Salleh berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Dr Mahathir bahawa Malaysia kini dipandang rendah dunia apabila sesiapa sahaja boleh ditangkap, disoal siasat dan ditahan serta didakwa dengan menyalahgunakan undang-undang negara.

Kenyataan tersebut ditulis Dr Mahathir susulan penahanan bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana membuat laporan antarabangsa mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengulas lanjut, Salleh berkata semasa pentadbiran Dr Mahathir, bekas perdana menteri itu juga menegaskan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan menjaga keselamatan negara.

"Kita harus membuat penyiasatan kepada mana-mana pihak yang bertujuan mengganggu-gugat kestabilan politik negara, itu yang paling penting, kerana penekanan kita adalah keamanan Malaysia" tegasnya.

Selain itu, Salleh berkata kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mengamalkan sebuah kerajaan terbuka yang mana orang ramai tidak akan dihukum sekadar memberi pandangan atau perbezaan pendapat mengenai dasar kerajaan.

"Tetapi jangan memberi pandangan atau pandangan berbeza sehingga melangkaui batasan undang-undang. Jangan sehingga menjejaskan keselamatan, perpaduan dan hubungan antara kaum dan agama.

"Jangan sehingga melibatkan dalam usaha-usaha menjatuhkan kepimpinan, bersubahat dengan mereka yang bukan warganegara Malaysia. Kalau ini berlaku, maka ini adalah kewajipan mana-mana kerajaan untuk mengambil tindakan sewajarnya," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts