AMBIL TINDAKAN SEGERA KE ATAS PIHAK CUBA MUSNAHKAN PERPADUAN : LIOW


AMPANG:  MCA menyeru kerajaan supaya mengambil tindakan segera terhadap kumpulan atau individu yang telah merosakkan keamanan dan perpaduan negara.


Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata satu tindakan untuk memperbetulkan mereka yang mengeruhkan keamanan negara dilihat sebagai langkah terbaik pada masa kini.

"Situasi politik kini sama seperti jerebu yang melanda negara sekarang.

"Tindakan biadap memijak gambar pemimpin, mengeluarkan kata-kata kesat seperti 'Cina babi', seruan-seruan jahat untuk hapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) telah merosakkan keamanan dan perpaduan di negara.

"Saya mengecam dan mengutuk tindakan tidak bertqanggungjawab seperti ini. Saya seru kerajaan agar ambil tindakan segera (iaitu) untuk mengambil tindakan memperbetulkan (tindakan negatif)," kata Liow semasa menyampaikan Ucapan Dasar Perasmian Majlis Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-62 2015 di sini hari ini.

Tambah Liow, MCA akan terus bersama Barisan Nasional (BN) dalam menggalas tanggungjawab untuk memajukan Malaysia atas dasar kebersamaan dan kesefahaman antara kaum.

Jelas Liow, persepsi rakyat terhadap parti itu dan BN juga perlu terus diperkukuh dalam meneruskan agenda t0ransformasi parti dan negara.

"Bangkitlah kita bersama-sama bersatu padu berganding bahu dalam memastikan bukan sahaja kesinambungan BN terjamin, malah apa yang lebih utama ialah memastikan masa hadapan bumi Malaysia yang tercinta ini terjamin, aman dan makmur selama-lamanya," katanya.

Dalam pada itu, Liow berkata MCA juga berikrar akan sentiasa meneruskan perjuangan dan terus menyokong kepimpinan perdana menteri untuk melaksanakan dasar kesederhanaan, keharmonian, dan perpaduan dalam kepelbagaian, selaras dengan semangat yang didokong BN.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan Majlis Rekonsilasi Tadbir Urus Politik, Hal Ehwal Agama dan Perpaduan bagi menyelesaikan isu ketegangan kaum, perbezaan fahaman agama dan sosioekonomi masyarakat.

"Sudah tiba masanya kita perlu melakukan sesuatu untuk menangani isu perkauman yang sedang kita hadapi. Jurang pemikiran antara kaum, jurang pemikiran antara generasi, serta jurang pemikiran antara masyarakat bandar dan luar bandar perlu ditangani dengan segera," katanya.

Liow juga berkata MCA akan terus menekankan nilai-nilai murni seperti tadbir urus yang baik, ketelusan, akauntabiliti dan integriti yang akan terus diberi keutamaan oleh MCA.

Dalam ucapan dasarnya, Liow turut mengkritik DAP dengan mendakwa 'pendekatan konfrontasi' yang dipraktikkan mereka ini akan membawa kerugian terutamanya kepada masyarakat Cina dan akhirnya rakyat akan menjadi mangsa. - ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts