REBAT PRABAYAR TELEFON BIMBIT HANYA UNTUK WARGANEGARA MALAYSIA: SALLEH


CYBERJAYA:  Kerajaan sedang membangunkan satu sistem berkesan bagi memastikan rebat untuk pengguna kad prabayar telefon bimbit seperti diumumkan dalam Bajet 2016, hanya dinikmati warganegara Malaysia.


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak berkata, ketika ini perbincangan dengan industri terlibat sedang dilakukan bagi memastikan pemberian rebat itu dilaksanakan 1 Januari depan.

Katanya, melalui pemberian rebat itu, pengguna kad prabayar akan membayar nilai yang sama dengan harga kad tambah nilai berkenaan.

"Rebat ini berbentuk airtime. Maksudnya bermula 1 Januari 2016, anda dapat apa yang anda mahukan. Kalau beli RM10, anda boleh gunakan airtime RM10.

"Kita akan laksanakan berdasarkan pengumuman Perdana Menteri selama setahun," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar 'The Role of New Media in Fighting Against Perception Terrorism' di  Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) di sini hari ini.

Jelasnya, pengumuman mengenai sistem berkenaan akan diumumkan selepas beberapa perkara diselesaikan.

"Kita hanya memberi rebat kepada warganegara sahaja. Maksudnya ia (rebat) akan ditanggung antara industri dan kerajaan.

"Kami akan membangunkan satu sistem bagi melaksanakan perkara itu. Kita kena bincang lagi sebab ini yang akan membezakan antara warganegara dengan warga asing. Namun ini hanya untuk setahun sahaja," jelasnya.

Mohd Salleh berkata, sistem itu nanti akan digunapakai selama setahun dan keputusan mengenai lanjutan kaedah berkenaan bergantung kepada keputusan kerajaan.

"Ada yang tanya kenapa tidak (dikuatkuasakan) 1 November, sebenarnya sebelum ini kerajaan membuat keputusan bahawa ia adalah sistem usage bukan activation, di mana kita pakai, kita dicaj.

"Kerajaan sebelum ini mengambil keputusan untuk kaji dalam masa enam bulan, selepas enam bulan kita kena balik seperti dahulu.

"Namun, balik seperti dahulu tidak bermakna tidak bayar, bagaimanapun, ia cuma melaksanakan sistem usage. Ini berbeza. Maksudnya, pada kali ini kalau kita tambah nilai RM10, kita akan dapat RM10," katanya.

Ketika ini, terdapat kira-kira 33 juta pengguna prabayar dan lapan juta pengguna pasca-bayar warganegara Malaysia yang berdaftar di seluruh negara.

Manakala, lima juta pengguna prabayar bukan warganegara Malaysia turut dicatatkan setakat ini.

Semasa membentangkan Bajet 2016, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pengguna warganegara Malaysia akan menikmati rebat kad pra-bayar yang bersamaan dengan amaun GST yang telah dibayar berkuat kuasa 1 Januari 2016 hingga 31 Disember 2016. - ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts