Followers

MASA UNTUK BERUBAH KEPADA EKONOMI BERASASKAN INOVASI : NAJIB


KUALA LUMPUR:  Cabaran seterusnya bagi Malaysia untuk mara menjadi negara maju ialah berubah kepada ekonomi berasaskan inovasi atau pengetahuan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.


Perdana Menteri berkata ekonomi negara telah melalui perubahan struktur daripada ekonomi berasaskan pertanian pada era 1960-an kepada ekonomi berasaskan industri pada 1980-an dan ekonomi berasaskan perkhidmatan sekarang.

"Ekonomi berasaskan pengetahuan ialah organisasi dan rakyatnya memperoleh, mewujudkan, menyebarkan dan menggunakan pengetahuan dengan lebih berkesan bagi pembangunan ekonomi dan sosial lebih hebat.

"Ia menyediakan kaedah-kaedah lebih berkesan dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan serta penyerahannya, selain pada kos lebih rendah kepada lebih ramai orang.

"Inovasi dan kreativiti harus memacu prestasi sektor awam dan swasta jika Malaysia mahu menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju, berupaya bersaing dengan yang terbaik pada peringkat rantau dan global," katanya semasa berucap menutup Forum Megatrend Khazanah 2015, di sini hari ini.

Najib berkata untuk mara, pertumbuhan ekonomi Malaysia harus dipacu oleh inovasi dan produktivi yang mempunyai hubung kait kukuh dengannya, tidak lagi bergantung kepada faktor-faktor tradisional pengeluaran iaitu modal dan buruh.

Bagaimanapun, disebabkan halangan ekonomi antarabangsa dan domestik semasa, usaha untuk ke depan semakin mencabar, katanya.

"Dari segi luaran, kita berdepan dengan penurunan nilai mata wang China, yuan, dan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah kejatuhan harga komoditi. Ini ditambah pula dengan pertumbuhan ekonomi China memperlahan dan pertumbuhan AS pula lebih rendah daripada jangkaan.

"Tidak pernah dalam sejarah kita begitu banyak faktor luaran bertembung pada satu masa. Semua ini mempunyai kesan terhadap ekonomi kita, dengan sedikit penurunan dalam pertumbuhan - bawah lima hingga enam peratus yang kita unjurkan dan penyusutan ringgit," katanya.

Tidak seperti ketika krisis kewangan Asia pada 2008 apabila kerajaan dapat menyediakan pakej rangsangan bernilai berbilion ringgit bagi merangsang pertumbuhan, Najib berkata keupayaan itu dihadkan oleh skop kewangan kerajaan semasa, dan kerana itulah perlu berubah kepada ekonomi berasaskan inovasi.

Perdana Menteri turut menghujahkan bahawa peranan kerajaan dalam inovasi adalah penting dan mengambil contoh beberapa negara maju seperti AS, Jerman, Korea Selatan dan Singapura.

Najib berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah dan dasar bagi menggalakkan pembangunan ekonomi yang didorong oleh inovasi.

"Koridor Raya Multimedia atau MSC Malaysia, bermula pada 1996, adalah antara contoh. Ia merupakan inisiatif ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) Malaysia yang direka bagi menarik syarikat teknologi bertaraf dunia sambil memupuk industi ICT tempatan.

"MSC Malaysia yang disokong sepenuhnya oleh kerajaan, telah meneraju perubahan teknologi negara," katanya menambah sejak penubuhannya, MSC Malaysia menyumbang lebih RM275 bilion dalam pendapatan, RM206 bilion dalam bentuk pelaburan serta mewujudkan lebih 147,000 pekerjaan.

Beliau berkata disebabkan kewujudan pelbagai entiti dengan begitu banyak peranan, sektor inovasi berisiko mengalami perpecahan, iaitu cabaran yang perlu ditangani oleh kerajaan.

"Kita perlu memperkemas, mengelak pertindihan dan menggabungkan sebahagian daripada agensi bagi mewujudkan struktur lebih kecil dan berkesan untuk ke depan," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata usaha untuk menangani bilangan agensi kerajaan yang berkenaan mesti dilakukan bagi menentukan kepentingannya selain mempertingkat komunikasi antara satu sama lain dan juga mengurangkan kerenah birokrasi yang mungkin menjejaskan kecekapan.

Forum dua hari bertemakan 'Harnessing Creative Disruption: Unlocking The Power of Inclusive Innovation' itu disertai oleh lebih 500 pemimpin korporat.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengarah Urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment