MASYARAKAT PERLU TONJOLKAN ISLAM SEBAGAI AGAMA YANG INDAH : JAKIM


KUALA LUMPUR:  Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam (JAKIM) Datuk Othman Mustapha menyeru agar masyarakat Islam di negara ini sama-sama membantu memberi gambaran sebenar keindahan agama Islam.


Beliau berkata persepsi salah tentang ajaran Islam perlu diubah dan ia dapat dilaksanakan melalui kerjasama pelbagai pihak bagi menjelaskan bahawa Islam merupakan agama yang mementingkan perpaduan dan menghormati agama lain.

"Kalau kita digembar-gemburkan tentang Islamofobia dengan tidak meletakkan Islam di tempat yang sebenar, maka ia memberi persepsi yang salah tentang Islam.

"Semalam pun Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) di dalam ucapannya telah menegaskan supaya golongan ulama dan professional memberi penjelasan kepada masyarakat tentang ajaran Islam yang sebenar supaya masyarakat tidak beralih kepada fahaman-fahaman lain dan terlibat dengan ISIS," katanya.

Othman berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Eksekutif sempena sambutan Jubli Emas Masjid Negara 50 tahun di Dewan Syarahan Utama Masjid negara, hari ini.

Othman berkata, program wacana tersebut merupakan acara terakhir dan pelengkap kepada sambutan Jubli Emas Masjid Negara 50 tahun yang telah berlangsung mulai 27 Ogos, menyaksikan kehadiran ramai peserta termasuk para ulama dan profesional.

Mengenai hala tuju Masjid Negara setelah 50 tahun, beliau berkata pihaknya serta jawatankuasa terlibat akan membuat beberapa perancangan bagi memperluaskan fungsi simbolik masjid itu termasuk menjadikannya sebagai pusat rujukan mengenai Islam.

Dalam pada itu, Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Sheikh Ismail Muhammed berkata sambutan jubli emas itu mendapat sambutan dan kerjasama yang baik pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan dan pihaknya mengalu-alukan cadangan Ketua Pengarah JAKIM terhadap pembangunan dan kemajuan masjid.

"Insya-Allah dengan bantuan dan kerjasama itu kita akan dapat perbanyakkan lagi aktiviti melibatkan agensi luar, contohnya acara hari ini bersama Dewan Bahasa dan Pustaka, jadi Insya-Allah ia akan bertambah baik lagi pada masa akan datang," katanya.

Bertemakan "Keindahan Kebenaran Islam", forum hari ini mengupas keindahan Islam dan memantapkan kefahaman masyarakat tentang ajaran Islam serta menjawab pelbagai persoalan peserta.

Forum santai itu disertai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Dr Yusri Mohamad sebagai moderator dan panel wacana terdiri daripada Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dr Azizan Baharuddin. - BERNAMA

Comments

Popular Posts