ASEAN PERLU BERSATU LINDUNGI EKONOMI SERANTAU DARI ANCAMAN KEGANASAN : PAKAR


SINGAPURA:  Seorang pakar mengenai keganasan Isnin menggesa negara-negara ASEAN supaya bersatu melaksanakan tindakan  melindungi rantau ini daripada ancaman keganasan, dalam usaha mengurangkan kesannya terhadap sosial dan ekonomi.

Ketua Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan (ICPVTR) Profesor Rohan Gunaratna berkata maklum balas pelbagai hala daripada para pemimpin ASEAN amat diperlukan untuk menangani ancaman pengganas yang semakin meningkat di rantau ini.

Sambil berkata penyokong kumpulan militan IS di rantau ini turut bertambah, beliau mengingatkan bahawa kekerapan dan keseriusan serangan seperti yang berlaku di Bangkok pada Ogos lepas boleh terus berlaku sekiranya para pemimpin di rantau ini tidak bersatu dalam tindakan.

"Serangan serius yang banyak boleh menjejaskan pelaburan asing di rantau ini selain memberi kesan kepada pelancongan tempatan," katanya pada mesyuarat meja bulat di sini, Isnin menjelangnya persidangan Keselamatan Tanah Air Asia Pasifik (APHS) pertama pada hujung bulan ini.

Gunaratna berkata pada masa ini, sebanyak 30 kumpulan pengganas telah berikrar menyokong IS termasuk 22 kumpulan di Indonesia dan lima lagi di Malaysia.

Lebih daripada 600 orang dari Asia Tenggara telah meninggalkan negara masing-masing untuk berjuang dengan militan IS, termasuk lebih 500 warga Indonesia dan hampir 100 orang yang direkrut dari Malaysia.

Kementerian Pelancongan Thailand menganggarkan letupan bom di Bangkok menyebabkan industri pelancongan domestiknya hilang pendapatan sebanyak 64bilion baht (AS$1.79 bilion), selain kadar ketibaan pelancongnya merosot kira-kira sejuta orang.

Sejak beberapa minggu lepas, kerajaan-kerajaan Australia dan Amerika Syarikat turut mengeluarkan amaran perjalanan ke Malaysia dan Filipina.

Gunaratna berkata: "Jika satu lagi insiden keganasan buruk berlaku di ASEAN, ia boleh menyebabkan kesan ekonomi yang serius di seluruh rantau ini apabila pelabur mula hilang keyakinan dan amaran perjalanan menghalang lebih ramai orang melancong.

"Dari segi sosial pula, risiko paranoia mungkin berlaku dalam kalangan komuniti tempatan seperti yang berlaku di Eropah.

"Walaupun Indonesia, Malaysia, Filipina dan Singapura berdepan ancaman keganasan, masalah ini memerlukan tindak balas peringkat ASEAN untuk memastikan keselamatan sosioekonomi dan kestabilan rantau ini pada masa depan.

"Bagi menangani ancaman IS, gabungan perkongsian risikan Lima Mata merangkumi Australia, Kanada, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat adalah contoh bagaimana negara-negara ASEAN dapat bekerjasama dalam isu ini.

"Kerajaan-kerajaan ASEAN juga boleh melakukan lebih banyak lagi untuk menyokong para pemimpin agama tempatan mendidik pengikutnya supaya menolak direkrut oleh IS dan memperkasa masyarakat untuk menjadi 'mata dan telinga' kerajaan,"katanya.

Persidangan dan pameran APHS yang berlangsung dari 27 hingga 30 Okt ini di Singapura, buat pertama kalinya bakal menghimpunkan pakar-pakar terkemuka dalam keselamatan tanah air dan awam dari rantau ini dan seluruh dunia.

COGES Asia ialah penganjur persidangan dan pameran APHS. - BERNAMA

Comments

Popular Posts